Pusat Kebudayaan Bajau Sama Dijangka Siap Ogos – Madius

Madius (dua kanan) mendengar taklimat yang disampaikan oleh perunding merangkap Arkitek Projek Chan & Shahriman Akriktek Sdn. Bhd., Adora Shariman (tepi kanan). Turut kelihatan Sofian (dua kiri) dan Dr Jamili (tepi kiri).

TUARAN: Isu berkaitan bangunan Pusat Kebudayaan Bajau Sama di sini dianggap selesai dan ia dijangka siap pada Ogos tahun ini kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

Menurutnya, hasil aduan awam beliau telah meminta agensi-agensi yang terlibat termasuk pihak kontraktor untuk mengadakan perbincangan bagi menyelesaikan isu yang wujud termasuk menyegerakan segala urustadbir bagi perkara-perkara yang masih belum selesai.

“Tujuan utamanya ialah memastikan projek ini dapat diselesaikan mengikut jadual. Jadi hari ini saya telah meminta Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS), Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) dan Pejabat Daerah Tuaran supaya proses kelulusan Perancangan Pembangunan (DP) Pusat Kebudayaan Bajau Sama dipercepatkan.

“Yang paling penting, projek ini dapat disiapkan bukan sahaja mengikut jadual tetapi juga memenuhi objektif pembinaannya iaitu untuk mempromosikan kesenian dan kebudayaan Bajau Sama,” katanya.

Madius berkata demikian ketika ditemui selepas lawatan tapak dan sesi taklimat bersama pihak pembekal dan semua agensi yang terlibat di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Dr Jamili Nais, Pengurus Besar LKNS, Mansur Asun dan Pegawai Daerah Tuaran, Mohd Sofian Alfian Nair.

Madius berkata, bangunan itu apabila siap nanti akan menjadi salah satu mercu kebanggaan Sabah khususnya rakyat di Tuaran.

Dengan adanya bangunan itu, secara peribadi beliau memaklumkan mahu melihat agar kesenian dan kebudayaan suku Bajau Sama di negeri ini sentiasa terpelihara.

“Mengikut jadual asal, sebenarnya bangunan ini sepatutnya sudah siap. Tetapi selain kesan terhadap pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan, pada tahun lepas pihak pemaju memaklumkan bahawa mereka menghadapi beberapa cabaran termasuk  kesukaran dalam mendapatkan sumber bahan-bahan binaan seperti pasir dan sebagainya.

“Mereka kemudiannya telah diberikan pelanjutan tempoh penyiapan dan yang terbaru bangunan itu  dijadualkan siap sepenuhnya dalam tempoh dua bulan dari sekarang.

“Saya berharap selepas lawatan ini projek dapat berjalan lancar, selesai dan seterusnya dapat digunakan,” jelas Madius yang juga merupakan Ahli Parlimen Tuaran.

Untuk rekod, pembinaan Pusat Kebudayaan Bajau Sama telah dibina di atas tanah seluas 1.4 hektardi Kampung Lok Batik Tuaran dengan peruntukkan sebanyak RM7.5 juta.