Pusat Karaoke Di Towering Diserbu Buat Kali Kedua

Oleh JENNIFER TUGUNG MICHAEL
PENAMPANG: Polis di sini menyerbu sebuah pusat karaoke di Towering buat kali kedua dengan menahan seramai 10 individu termasuk empat wanita, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd. Haris Ibrahim berkata, sebelum ini, pusat karaoke itu pernah diserbu pada 7 April kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan seramai tiga orang termasuk pemilik premis itu ditahan pada bulan April lalu.

Mohd. Haris berkata, serbuan itu dilakukan apabila pasukan polis Ibu pejabat Daerah (IPD) Penampang terdengar bunyi busing dari sebuah premis ketika menjalankan tugas rondaan pada pukul 12.05 tengah malam tadi.

“Pasukan polis kemudian bertindak menyerbu premis berkenaan dan menahan enam lelaki dan empat wanita yang sedang berhibur di dalam premis itu bersama muzik yang dimainkan dengan kuat.

“Semua mereka berusia 18 hingga 37 ditahan dan dibawa ke IPD Penampang kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Covid-19 yang sedang berkuatkuasa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut beliau, pemeriksaan lanjut mendapati pusat karaoke berkenaan tidak mempunyai lesen perniagaan dan lesen hiburan.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 3 Ordinan Hiburan Awam 1958 iaitu menjalankan operasi premis hiburan tanpa lesen dan Peraturan 3 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 iaitu aktiviti terlarang termasuk perniagaan restoran di dalam pusat hiburan.