Pusat Hiburan Diserbu, 28 Pelanggan Dikompaun RM140,000

KOTA KINABALU: Kegembiraan 28 pelanggan berhibur sambil menikmati minuman beralkohol terhenti apabila kesemua mereka dikenakan kompaun RM5,000 setiap seorang dengan nilai keseluruhan RM140,000, di sini semalam.

Dalam serbuan yang dilakukan di sebuah pub di Waterfront pada 9 malam, semalam, kesemua individu yang merupakan pelanggan di pub tersebut didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) iaitu mengamalkan penjarak fizikal dan tidak memakai pelitup muka.

Turut dikenakan kompaun adalah pengurus dengan jumlah RM25,000 serta empat pekerja yang turut dikompaun RM5,000 setiap seorang.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, ketika serbuan dilakukan, muzik yang kuat sedang dimainkan dipremis dan pelanggan juga sedang leka berhibur sambil minum minuman beralkohol.

Pemeriksaan mendapati seorang pengurus, empat pekerja serta 28 pelanggan yang berada dalam premis melanggar SOP ditetapkan iaitu menjalankan aktiviti pusat hiburan iaitu aktiviti yang terlarang serta tiada penjarakan fizikal.

“Maka, pemilik dan pelanggan melakukan kesalahan mengikut Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Zaidi berkata, pemeriksaan juga mendapati premis tersebut menggunakan lesen restoran kelas dua dan telah melanggar syarat sah lesen perniagaan.

Untuk itu, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah mengeluarkan kompaun bagi penyalahgunaan lesen berniaga.

Operasi bersepadu Covid-19-pematuhan SOP itu dilakukan dengan kerjasama DBKK dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).