Pungutan Sampah! BN Putatan Perlu Mengikis Sikap Malas Mereka

Mohd Firdaus Diun

Oleh MUHAMMAD FIRDAUS DIUN
KOMENTAR: Rancangan Kerajaan Negeri Sabah pimpinan UMNO untuk menswastakan kerja-kerja pelupusan sampah dan penyelenggaraan lampu jalanraya di Putatan jelas menunjukkan standard pengurusan tadbir UMNO Sabah di Negeri Sabah ini.

2. Kita sedia maklum bahawa isu sampah dan lampu jalanraya di Putatan ini adalah disebabkan oleh wujudnya ketidak-mampuan pengurusan dalam salah satu badan Kerajaan Negeri Sabah iaitu Majlis Daerah Putatan.

3. Dan sebagai sebuah parti yang telah diberi mandat untuk memastikan bahawa sistem pentadbiran Kerajaan Negeri ini sentiasa berdaya saing dalam segala bidang, BN/UMNO Putatan sepatutnya memberi teladan dengan mencari jalan penyelesaian mengenai permasalahan yang melanda di daerah ini dan bukannya menyerahkan masalah-masalah ini kepada pihak ketiga untuk diselesaikan.

4. Kerajaan Negeri Sabah pimpinan UMNO sepatutnya membuat kajian mengapa hanya daerah Putatan sahaja yang mengalami masalah pengurusan sampah dan lampu jalanraya yang teruk ini walhal daerah lain tidak mempunyai masalah sedemikian.

5. Dan sudah pasti kajian yang dibuat akan menunjukkan keperluan untuk Majlis Daerah Putatan dirombak dan diberi penambahbaikan dari segi pengurusan dan pentadbiran.

6. Sekiranya alasan yang diberikan ialah mengenai kekurangan dana untuk pembelian lori-lori sampah yang baru ataupun untuk membayar gaji kakitangan Majlis, maka bagaimanakah Ahli Parlimen Putatan, Marcus Mojihoh dan Ahli Dewan Undangan Negeri Petagas, Yahya Husin boleh mengatakan bahawa mereka mampu untuk mendapatkan peruntukkan sebanyak RM10 juta dari Najib Razak untuk tujuan kerja-kerja pembesaran dan pengubahsuaian Tamu Putatan?

7. Bukankah lebih baik sekiranya peruntukkan sebanyak RM10 juta ini boleh disalurkan untuk pembelian aset-aset baru, pembayaran gaji kakitangan Majlis dan pemuliharaan balairaya-balairaya yang tidak terjaga di daerah ini?

8. Saya juga setuju dengan kenyataan Bendahari Agung Parti Warisan Sabah, Terrence Siambun yang mengatakan bahawa penswastaan ini juga sudah pastinya akan dijadikan sebagai alasan mengapa cukai perkadaran di Putatan terpaksa dinaikkan.

9. Maka oleh yang demikian, sudah pastinya Parti Warisan Sabah tidak akan memberi jalan mudah kepada Kerajaan Negeri Sabah pimpinan UMNO untuk melaksanakan rancangan penswastaan ini kerana ianya bukannya menyelesaikan masalah yang sebenar yang wujud di Putatan tetapi satu usaha untuk melarikan diri dari tanggungjawab yang sepatutnya dilaksanakan oleh mereka.

10. Dan sekiranya Ahli Parlimen Putatan dan Ahli Dewan Undangan Negeri Petagas masih bertegas untuk melarikan diri dari tanggungjawab yang sepatutnya mereka pikul ini dan kerja-kerja ini mesti diserahkan kepada pihak ketiga, maka Parti Warisan Sabah mencadangkan agar warga Putatan diberi peluang untuk turut serta berbakti dalam isu ini melalui penubuhan sebuah korperasi yang akan diberi kontrak melupuskan sampah dan penyelenggaran lampu jalanraya ini.

11. Penubuhan korperasi ini akan memberi peluang kepada warga Putatan untuk sama-sama menikmati keuntungan hasil dari usaha mereka untuk menjadikan Putatan bersih dan indah disamping memberi peluang kepada kita semua untuk mendidik golongan muda keperluan untuk menjaga daerah ini.

  • Muhammad Firdaus Bin Diun adalah Ketua Wira Warisan Putatan