Punca Kelewatan Loji Rawatan Air Telibong II Didedahkan

KUALA LUMPUR: Punca kelewatan kemajuan pembinaan projek Loji Rawatan Air Telibong II didedahkan selepas persoalan dibangkitkan Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO – Tuaran) dalam ucapan perbahasan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) baru-baru ini.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kelewatan disebabkan isu berkaitan pengurusan kontraktor, isu jajaran paip di cadangan laluan projek Pan Borneo dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pada masa ini, tindakan sewajarnya telah diambil bagi memastikan pelaksanaan projek dijalankan mengikut jadual yang telah ditetapkan, dan projek ini dijangka akan siap pada 2022,” katanya dalam satu jawapan bertulis di Persidangan Parlimen Dewan Rakyat, di sini, kelmarin.

Menjawab isu Non Revenue Water (NRW) Sabah sebagai yang tertinggi di Malaysia, Ibrahim memaklumkan, sehingga tahun 2020 Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan RM480 juta bagi pelaksanaan kerja-kerja untuk menangani masalah tersebut.

“Ini tidak termasuk RM188 juta yang diluluskan di bawah Rolling Plan 1 (RP1) Tahun 2021 RMKe-12.

“Ingin saya tegaskan bahawa sebagai pihak yang akan mengambil alih projek ini, peranan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) adalah kritikal dalam memastikan semua kerja operasi dan penyelenggaraan dilaksanakan sebaik mungkin,” katanya.

Terdahulu dalam ucapan perbahasannya, Madius menyatakan bahawa ‘Kemakmuran Bersama’ yang dihasratkan dalam RMK-12 tidak akan tercapai sekiranya masalah air di Sabah tidak diselesaikan.

“Penduduk di puluhan taman-taman perumahan seperti Taman Seri Rugading, Taman Telipok Ria, Taman Putrajaya, Bandar Siera dan sebagainya mengeluh setiap hari kerana masalah sumber air sehinggalah Loji Rawatan Telibong II siap.

“Mereka hanya menerima air dari jam 9.00 malam hingga 6.00 pagi. Dan saya ingin maklumkan bahawa 22 daripada 84 Loji Rawatan Air di Sabah sudah lapuk dan tidak berfungsi sepenuhnya.

“Malah ‘Non Revenue Water (NRW)’ di Sabah mencecah 52 peratus iaitu tertinggi di Malaysia. Saya ingin mendapat penjelasan sama ada 22 Loji Rawatan Air ini telah diberi peruntukan, dan apakah tindakan kerajaan untuk mengatasi 52 peratus NRW tersebut,” katanya.