Pulangkan Autonomi Sarawak Hanya Janji Kosong Najib – Chieng Jen

KUCHING: Kerajaan Persekutuan yang diketuai UMNO berdolak dalik untuk mengembalikan hak autonomi kerajaan negeri Sarawak apabila meluluskan sekurang-kurangnya enam rang undang-undang (RUU) yang mencabar kuasa negeri itu.

Menurut Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen, RUU Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang diluluskan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak pada 2014 telah menceroboh hak kerajaan negeri untuk mengutip Cukai Jualan.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari yang mendakwa Najib kononnya jujur untuk mengembalikan hak autonomi negeri kepada Sarawak.

“Jika Najib jujur mahu mengembalikan hak autonomi negeri kepada Sarawak seperti yang didakwa Abang Jo, dia sepatutnya mengembalikan 20 peratus royalti minyak dan gas kepada kerajaan negeri sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Please click on advertisement to view

“Tanpa akses kepada keuntungan cukai tambahan, segala cakap-cakap mengenai autonomi negeri hanyalah gembar-gembur saja,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching dalam kenyataan.

“Pada asasnya, segala pelaksanaan kuasa dan dasar memerlukan wang. Jika Kerajaan Pusat mengawal dana dan kerajaan negeri pula terpaksa merayu dana untuk melaksanakan dasar-dasar, maka kerajaan negeri sebenarnya tidak mempunyai autonomi,” tambahnya.

Tidak seperti bekas Ketua Menteri Adenan Satem, Abang Jo, tambah Chieng Jen, tunduk kepada desakan UMNO dan Najib.

“Walaupun telah banyak perkara salah yang dilakukan UMNO, Abang Jo tetapi mahu memujuk rakyat Sarawak untuk menerima dan menghormati Najib,” ujarnya sambil menegaskan skandal 1MDB telah menyebabkan kenaikan kos sara hidup dan penurunan nilai ringgit.

Selain GST, kerajaan UMNO pada tahun lepas turut meluluskan RUU Akta Cukai Pelancongan yang menceroboh hak kerajaan negeri Sarawak ke atas sektor pelancongannya.

RUU lain yang turut memberi kesan kepada hak kerajaan negeri Sarawak adalah RUU Wilayah Laut 2012, RUU Akta Majlis Keselamatan Negara 2015, RUU Akses kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah (ABS) 2017 dan RUU Perkapalan Saudagar (Pindaan 2017). – Roketkini.com