Warisan Ambil Langkah Penyelesian Tetapi PBS Hanya Tahu Memekik

174
TERRENCE SIAMBUN

Oleh AZIZ KHAN
KOTA KINABALU: Masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah telah wujud semasa zaman Parti Bersatu Sabah (PBS) menjadi kerajaan negeri dengan jumlahnya antara 50,000 hingga 100,000 orang, namun parti itu tidak pernah mengambil apa-apa langkah selain hanya duduk dan memekik.

Disebabkan tiada tindakan yang diambil, jumlah tersebut terus meningkat termasuklah ketika PBS mentadbir Sabah di dalam Barisan Nasional (BN).

Sehubungan itu, Bendahari Agung Parti Warisan Sabah (Warisan), Terrence Siambun berkata, PBS perlu bangun daripada tidur dan menerima realiti tentang masalah imigran yang wujud bukannya mengadu-domba kenyataan sama selama 40 tahun tetapi tiada tindakan diambil.

Terrence berkata, sebaliknya, kerajaan negeri pimpinan Warisan kini telah mengambil langkah berani melaksanakan apa yang telah disyorkan oleh Laporan Inkuiri Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pemberian kad pengenalan kepada warga asing di Sabah yang dikeluarkan semasa zaman BN.

“Sila ambil perhatian bahawa kerajaan pimpinan Warisan telah memulakan apa yang disyorkan oleh Laporan RCI zaman BN tetapi tidak dilaksanakan oleh dua bekas Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Tan Sri Musa Aman.

“Warisan telah berjanji menyelesaikannya. Kita tidak boleh emosional tetapi mesti realistik dan lebih penting, kita mesti mengambil tindakan progresif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kelmarin, Kementerian Dalam Negeri memutuskan Pas Sementara Sabah (PSS) akan diperkenal untuk menggantikan Kad Pendaftaran Orang Asing Khas (IMM13), Kad Burong-Burong dan Sijil Bancian yang kini dipegang oleh warga asing yang telah lama menetap di Sabah.

Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai bagaimanapun berkata, pemberian PSS seolah-olah memberi peluang kepada warga asing untuk bertambah dan akhirnya melebihi jumlah rakyat Sabah yang sebenar.

Terrence berkata, jumlah penduduk tanpa negara di Sabah sukar untuk ditentukan kerana mereka telah meresap ke dalam masyarakat.

Sehubungan itu katanya, Warisan mahu mencari jalan penyelesaian terbaik demi kepentingan Sabah dan rakyatnya.

“Saya mahu bertanya kepada Joniston jika dia tahu siapa golongan itu. Jika kerajaan sebelum ini telah mengenal pasti dan tahu di mana mereka, maka proses untuk memahami masalah yang kompleks ini lebih mudah.

“Kerajaan sekarang terpaksa bermula dari awal untuk memahami kedudukan undang-undang golongan tersebut yang memegang ketiga-tiga dokumen berbeza itu,”
katanya.

Tegasnya, penyelesaian terbaik perlu diambil dengan negara asal golongan tersebut untuk menerima mereka kembali serta menentukan kedudukan sebahagiannya yang mungkin rakyat Malaysia hasil darah daging salah daripa seorang ibu bapa mereka.

“Dengan situasi yang sangat kompleks ini kerajaan BN yang dianggotai PBS tidak berani mengambil jalan penyelesaian walaupun petunjuk telah diberikan oleh Laporan RCI.

“Joniston terlupa satu perkara iaitu tujuan PSS ialah untuk mengetahui berapa jumlah imigran di Sabah dan mengesan pergerakan mereka.

“Dengan cara ini kita boleh mengawal selia dan memantau mereka daripada hanya memekik tentang isu yang timbul tetapi akhirnya disembunyikan daripada umum,” katanya.