PSS Diperkenal Ganti IMM13, Burung-Burung Dan Sijil Bancian

375

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN dan SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kementerian Dalam Negeri akan mengeluarkan Pas Sementara Sabah (PSS) bagi menggantikan Kad Pendaftaran Orang Asing Khas (IMM13), burung-burung dan sijil bancian yang kini dipegang oleh warga asing yang telah berada di Sabah sejak sekian lama.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PSS yang akan dikeluarkan bermula 1 Jun 2020 oleh Jabatan Imigresen Sabah dengan bayaran RM120 setiap satu lengkap mengandungi maklumat biometrik setiap pemegangnya termasuk gambar dan cap jari.

Beliau berkata, pengeluaran PSS diputuskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing Di Sabah yang julung kali diadakan di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) hari ini.

“Peringkat sekarang ini bagaimana ia akan dilaksanakan ada satu badan khas di peringkat negeri yang akan menguruskan urusan-urusan sebegini bermakna pas-pas lama yang sudah dikeluarkan itu akan dipulang balik dan dikeluarkan PSS.

“Pas ini dikeluarkan atas nama setiap individu bukan kepada kumpulan seperti IMM13 jadi setiap orang satu kad, PSS ini diharap dapat menyelesaikan isu-isu PATI, di samping itu, selain untuk pemantauan dan penguatkuasaan aspek yang kita fikir perlu juga ialah daripada segi memantau tenaga kerja yang boleh kite peroleh daripada mereka ini dengan adanya kad itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal selepas mesyuarat jawatankuasa tersebut yang dipengerusikan bersama oleh kedua-dua pemimpin.

Muhyiddin menegaskan, PSS hanya dikeluarkan kepada kira-kira 600,000 warga asing yang telah lama di Sabah dan pemegang ketiga-tiga dokumen itu, namun bagi golongan yang baru datang ke Sabah, mereka tetap terikat dengan undang-undang iaitu perlu memiliki dokumen perjalanan sah serta pas kerja jika mahu bekerja di negeri ini.

Katanya, PSS perlu diperbaharui setiap tiga tahun bagi mengekang golongan warga asing daripada menggunakan kad tersebut untuk cara salah termasuk terlibat dengan aktiviti jenayah.

“Sesiapa yang ada ketiga-tiga dokumen itu mereka berhak mendapat PSS tetapi kita mahu peringatkan juga jangan dia ambil mudah bahawa dengan ada pas itu dia boleh guna sesuka hati kalau mereka melakukan kesalahan jenayah, kerana pas ini perlu diperbaharui.

“Jadi agensi atau pihak berkuasa akan menilai jika semasa pegang pas dan melanggar undang-undang, terlibat jenayah atau pun masuk kumpulan pengganas kita akan teliti balik kedudukan dia,” katanya.

Muhyiddin berkata, keputusan mengeluarkan PSS adalah bagi menangani isu-isu warga asing yang telah lama membelenggu negeri ini demi memastikan keharmonian rakyat Sabah serta ekonomi negeri terus terjaga.

Sementara itu katanya, sejak tahun 1990 sehingga kelmarin, sebanyak 586,367 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah diusir dari negeri ini manakala bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini jumlahnya ialah 8,343 orang.