PRU14: Warisan Sabah Bela Nasib Rakyat Labuan, Kata Shafie Apdal

2997
Shafie Apdal berucap di Labuan. – Gambar ihsan Jahabar Sadiq

LABUAN: Kerajaan Negeri Sabah di bawah pentadbiran Parti Warisan Sabah akan memberi perhatian terhadap keperluan penduduk Labuan dengan menyuarakan perkara itu kepada Parlimen dan Putrajaya.

Presiden Warisan, Shafie Apdal berkata perancangan Ahli Parlimen Labuan selama ini tidak pernah mendapat sambutan adil dari pihak persekutuan kerana tertakluk kepada budi bicara Menteri Wilayah Persekutuan.

“Berikan kemenangan kepada calon Warisan Parlimen Labuan 9 Mei ini, insyaallah dengan mandat rakyat, Kerajaan Negeri Sabah di bawah Parti Warisan akan bersama-sama Ahli Parlimen Warisan Labuan menyuarakan kepentingan Labuan di peringkat persekutuan,” kata Shafie.

Shafie menegaskan, Warisan juga telah merangka pembangunan Labuan untuk mengembalikan pelbagai pelaburan industri, perkilangan, pengurusan pelabuhan dan perkapalan demi mewujudkan semula pelbagai peluang pekerjaan penduduk Labuan yang kini lengang dan buntu.

Menurut Shafie, Noor Halim Haji Zaini adalah pemimpin tepat yang mampu mengembalikan kemakmuran ekonomi Labuan berdasarkan latar belakang akademik dan pengalaman dalam bidang cari gali minyak.

Shafie berkata demikian ketika membantu kempen Calon Warisan Labuan, Noor Halim di gelanggang bola keranjang SK62 Sungai Keling di sini pada Jumaat malam.

Orang ramai yang datang ke Ceramah Perdana Parti Warisan Sabah di Labuan.

“Kita tidak akan mengganggu-gugat status Labuan sebagai Wilayah Persekutuan tapi apa yang tertulis ketika Sabah menyerahkan Labuan kepada Persektuan hendaklah dilaksanakan dengan sempurna, penduduk Labuan harus mendapatkan apa yang telah dijanjikan kepada mereka,” tegas Shafie.

Turut hadir, ketua penyelaras Warisan Labuan, Salim Abdul Rahman, mantan Ahli Parlimen Labuan selama tiga penggal, Mulok Awang Damit, tokoh korporat, Ibrahim Menudin dan ketua-ketua PDM Warisan Labuan.

Kira-kira 3,500 penduduk Labuan pelbagai lapisan dan keturunan menghadiri sesi kempen calon Warisan Labuan bersama Presiden itu yang dibungai laungan Sabah Ubah, Labuan Ubah, Undi Warisan.

Ketika menantikan ketibaan Shafie, Mulok dalam ucapannya menyatakan penduduk Labuan terlantar sendirian tanpa ada mana-mana pihak di persekutuan menyuarakan pembelaan bagi mempertahankan peluang-peluang pekerjaan industri minyak dan gas yang kini kebanyakannya sudah memindahkan operasi ke tempat-tempat lain.

“Apa yang dilakukan apabila pemimpin tertentu dari Kuala Lumpur melawat Labuan ialah membuai dan mengkhayalkan penduduk Labuan dengan hiburan-hiburan pentas tanpa sebarang perancangan konkrit untuk memulihkan ekonomi Labuan,” kata Mulok.