PRU14: Tuduhan Penyokong BN Terhadap Shafie Apdal Tidak Berasas

Oleh BENNY CHIU
KOMEN: Mengulas video yang ditularkan dalam media sosial mengenai kecaman individu-individu yang telah mendakwa kononnya Shafie Apdal gagal membawa pembangunan khususnya di daerah semporna sepanjang beliau menjadi menteri dan ahli parlimen.

Melihat reaksi yang dipaparkan melalui rakaman video berkenaan, ia amat ketara menampakkan kedangkalan penilaian yang dinyatakan oleh individu-individu berkenaan berhubung dengan isu di daerah Semporna yang hanya bermodalkan kutukan semata-mata tanpa penyelesaian yang realistik.

BENNY CHIU

Di sini saya menjelaskan mengapa saya memperkatakan bahawa tuduhan-tuduhan individu-individu berkenaan tidak berasas sama sekali dan menyuarakan perkara yang sebenarnya mereka tidak maksudkan pun.

Sewaktu beliau menjawat jawatan Ahli Parlimen Semporna di dalam Parti Umno lama dulu, sudah banyak kemajuan infrastruktur yang beliau telah bawa untuk daerah Semporna. Semua ini mampu memacu pertumbuhan ekonomi daerah ke arah daerah yang berdaya saing dan sesuai dengan keperluan asas masyarakat Semporna iaitu Pendidikan, Keselamatan dan Pelancongan.

Dari segi aspek keselamatan ketika beliau memangku timbalan Menteri Pertahanan, beliau telah menyarankan kepada Kerajaan Pusat supaya Pangkalan TLDM Semporna dapat dibina untuk meningkatkan lagi tahap keselamatan penduduk daerah semporna yang selama ini dihantui dengan pelbagai kes penculikan yang menjadi-jadi.

Ketika itu, isu penculikan begitu sensasi dan didalangi oleh pengganas dari negara seberang iaitu Filipina yang menggelarkan kumpulan mereka sebagai Abu Sayaff. Hasilnya, kini Pangkalan tersebut terlaksana serta-merta.

Sebaik sahaja beliau menjawat Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, beliau telah membuka ibu pejabat KPDNKK di daerah Semporna untuk memudahkan rakyat Semporna menuntut hak sebagai pengguna dengan membuat aduan mengenai peniaga-peniaga yang menaikkan harga barang sesuka hati.

Hal ini akan menjamin ketelusan jualbeli dan membina kepercayaan di antara pembeli dan peniaga yang mewujudkan suasana mesra perniagaan dalam kalangan rakyat secara umum.

Bukan itu sahaja, di samping kedudukan Semporna yang begitu strategik dari segi sektor Pelancongan, jeti-jeti yang menjadi “transit” perhubungan pengangkutan antara pulau-pulau di sekitarnya, sesungguhnya memudahkan masyarakat untuk ke sana sini melalui perairan Semporna.

Nelayan, pelancong yang berkunjung ke pulau-pulau mempesona, dan orang-orang pulau dalam kalangan masyarakat Semporna sendiri mendapat manfaat dari kemudahan yang tersedia.

KPTM Semporna

Dari segi nilai kemasyarakatan dan budaya Semporna pula, beliau yang mempunyai kekuatan jatidiri anak bangsa tempatan sudah tentu tidak lupa mempromosi kesenian bangsa bajau di peringkat negeri sehingga ke persada antarabangsa demi mengangkat martabat warisan bangsa tanah air tercinta ini.

Perkara ini juga telah membantu industri Pelancongan tempatan sebagai daya tarikan dari sudut keaslian budayanya yang tiada tolok-bandingnya.

Sehubungan dengan itu, kemudahan-kemudahan asas bagi tujuan kesihatan masyarakat setempat seperti klinik-klinik yang diwujudkan di Kampung-kampung terutama di Pulau Bum-bum yang menghampiri piawaian hospital telah banyak membantu sedikit kesulitan rakyat biarpun Doktor-doktor pakar daerah belum lagi mencukupi.

Selain itu, jawatan terakhir beliau sebagai Menteri Kemajuan luar bandar. Beliau telah dipertangungjawabkan mengurus kawasan luar bandar di 14 buah negeri yang sudah pasti bukan hanya di daerah Semporna saja akan tetapi menyentuh pembangunan menyeluruh tanpa ‘pilih kasih’ di kawasan-kawasan pedalaman tempatan.

MRSM Semporna

Ketika inilah beliau giat membuka Sekolah-sekolah dan Kolej-kolej Pengajian Komuniti yang bak cendawan tumbuh selepas hujan di sekitar Semporna sehingga disusuli institusi Pendidikan seperti MRSM di Kampung Bantayan untuk anak-anak kita meningkatkan kecemerlangan akademik.

Di samping itu, usaha yang berterusan melalui jalan pendidikan ini sudah semestinya melahirkan modal insan yang berkualiti dan berupaya meningkatkan produktiviti negara dari segala bidang untuk diwariskan kepada generasi yang akan datang.

Ia adalah pelaburan jangka masa panjang yang merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat secara “makro” atau menyeluruh ke setiap lapisan masyarakat. Sesungguhnya, perjuangan memartabatkan warisan negara bangsa ini adalah harga mati yang tiada galang gantinya apa lagi mudah dijualbeli.

Undi anda penentu masa depan anak bangsa!

Ayuh sepakat beramai-ramai untuk mengundi PARTI WARISAN SABAH dan berjuang bersamanya.

In God We Trust, Change We Must!!!

• Benny Chiu adalah pengundi di kawasan Semporna