PRU14: Sertai Umno Bukti Safari Tidak Layak Jadi Calon Warisan

5493
SAFARI ADNAN

Oleh FRANCIS AU
KOMEN: Tindakan Safari Adnan, bekas EXCO Wira Parti Warisan Sabah menyertai Barisan Nasional selang beberapa hari selepas penamaan calon dalam tempoh persediaan kempen Pilihanraya Ke-14 adalah sesuatu yang sudah dijangka.

Awalnya, memang kita ada menerima laporan dari beberapa pihak yang meragui keikhlasan Safari berjuang dalam Warisan yang mana laporan ini mengatakan bahawa Safari menyertai Warisan atas niat dan cita-cita ingin menjadi calon semata-mata.

FRANCIS AU

Kita amat berterima kasih kerana Safari lebih awal menunjukkan diri beliau sebenar. Justeru, tindakan beliau hari ini jelas menunjukkan siapa beliau yg sebenarnya.

Sebelum ini juga, ada pihak melemparkan tuduhan terhadap Safari ini adalah agen BN di dalam Warisan yang diupah oleh Anifah Aman, namun kita selaku Wira masih mempertahankan beliau.

Siapa mengenali Safari sebelum ini? Safari sepatutnya berterimah kasih kepada pucuk pimpinan parti kerana dalam Warisan orang muda diberi ruang dan peluang seluasnya untuk mengambil peranan dalam melaksanakan misi perubahan.

Ketua Wira Warisan, Azis bin Haji Jamman telah memberi beliau peluang untuk bersama-sama berjuang menjunjung harapan belia di Sabah dan Safari telah diberi kepercayaan sekaligus dilantik sebagai EXCO Wira Warisan.

Inilah kelebihan yang ada pada Warisan yang mana golongan muda diberi ruang dan peluang untuk berdiri di barisan hadapan parti.

Bagi kita di dalam Wira, kita telah menganggap beliau ini umpama adik-beradik begitulah betapa rapatnya ikatan kami.

Justeru, tindakan beliau ini bukan sahaja telah melukakan hati seluruh rakan wira di negeri Sabah, tetapi seluruh harapan rakyat turut dikhianati.

Bagaimanapun kami semua menghormati keputusan Safari menyertai Barisan Nasional walaupun itu sebenarnya menunjukkan beliau ini adalah seorang yang tidak berpendirian.

Dalam ucapannya sebelum ini, Safari secara terbuka dan dengan lantangnya mengecam BN. Malahan bukan sahaja dalam ucapannya, tetapi juga menerusi posting di akaun facebooknya juga dapat kita lihat beliau mengecam pemimpin UMNO khususnya Anifah Aman.

Namun beberapa hari ini, Safari sendiri telah mengesahkan tuduhan itu adalah benar dan bukannya lagi khabar angin malahan adalah memang benar belaka bahawa beliau ini adalah agen BN di dalam Warisan.

Seperti yang ditekankan oleh presiden bahawa dalam soal pemilihan calon ini, selain daripada aspek boleh-menang yang diambil kira, perkara yang juga tidak kurang pentinya adalah kesetiaan kepada parti dan perjuangan.

Jika hari ini Safari keluar parti kerana kecewa tidak terpilih sebagai calon. Maka kebimbangan kita yang paling besar adalah kerusi yang beliau menangi akan pula ditawarkan kepada UMNO dan Barisan Nasional.

Justeru, keputusan presiden untuk tidak meletakkan beliau selaku calon ini adalah suatu yang betul dan tepat.

• Francis Au ialah Setiausaha Wira, Parti Warisan Sabah