PRU14: BN Gagal Atasi Isu KDM; RCI Mengenai PTI Tiada Penyelesaian

3155
TERRENCE SIAMBUN

Oleh WARTAWAN BORNEOTODAY
KOTA KINABALU: Undi kepada calon-calon Barisan Nasional Sabah akan menyebabkan kaum Kadazan, Dusun dan Murut (KDM) semakin terperosok.

Parti Warisan Sabah berkata BN mempunyai banyak peluang untuk melonjakkan Sabah kembali ke landasan yang boleh dibanggakan melalui penyelesaian beberapa isu yang dekat di hati kaum KDM namun ia tidak berlaku.

Antaranya, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai PTI di Sabah yang hanya dibuat pada 2013 dan sehingga kini, belum ada penyelesaian konkrit mengenai isu ini dari pentadbiran Najib Razak.

“Apa yang menghairankan ialah presiden-presiden parti-parti komponen BN Sabah sebaliknya menyalahkan Tun Mahathir Mohamad mengenai perkara ini,” kata Bendahari-Agung Parti Warisan Sabah, Terrence Siambun dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau membidas pendapat calon BN di parlimen Sepanggar, Rahman Dahlan bahawa kaum KDM akan menolak Warisan sebagai protes terhadap Tun Mahathir.

“Saya ingin mengingatkannya bahawa usaha untuk mempersalahkan orang lain atas kegagalan BN Sabah selama ini tidak akan berhasil,” ujarnya.

Terrence juga mengingatkan bahawa jumlah pegawai dari kaum KDM yang memegang jawatan tinggi di kementerian dan jabatan kerajaan negeri Sabah, pada masa pentadbiran Mahathir, adalah besar tetapi selepas beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, jumlah itu jatuh mendadak.

Perdana Menteri Malaysia ke-4 itu melepaskan jawatannya 15 tahun yang lalu pada 2003 setelah 22 tahun.

“Harus diingat, proses ‘Melayunisasi’ di kalangan kaum KDM ataupun serangan terhadap identiti KDM tidak pernah terjadi di negeri ini semasa pentadbiran Mahathir.

“Proses dan serangan terhadap identiti KDM secara terbuka ini hanya terjadi ketika pentadbiran Najib Razak malah ada pemimpin BN Sabah dengan bangga mengatakan bahawa kaum KDM ini ialah dari rumpun Melayu,” kata Terrence.