PRU14: Anak Buah Dan Makcik Rebut Kerusi N54 Bugaya

2039
Shafie Apdal berkempen di Semporna bagi calon-calon Parti Warisan Sabah.

SEMPORNA: Pertembungan enam penjuru, di antara dua calon baharu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N. 54 Bugaya yang mempunyai pertalian kekeluargaan, Razak Sakaran (BN) dan Manis Muka Dara (Warisan) dilihat akan merancakkan lagi senario kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di daerah ini.

Meskipun terdapat calon-calon parti lain yang akan berentap merebut kerusi DUN berkenaan, tumpuan lebih terarah kepada Razak dan Manis Muka memandangkan kedua-dua mereka mempunyai pengaruh kekeluargaan ‘kuat’ di Semporna.

Masyarakat umum di daerah ini semestinya sinonim dengan nama ‘Sakaran’ manakala Manis Muka pula, tidak ramai tahu Allahyarham bapanya Mohd Dara Langpad merupakan Ahli Parlimen Semporna yang pertama pada zaman USNO dahulu.

MANIS MUKA

Walaupun mempunyai talian kekeluargaan yang erat, perjuangan parti tetap menjadi keutamaan buat dua calon ini untuk beradu idealogi, agenda kempen dan janji bagi menaikkan taraf hidup pengundi di kawasan Bugaya.

Bagi Razak, dalam kempen PRU14 yang dijalankan setakat ini, salah satu elemen yang akan menarik minat rakyat di kawasan tersebut adalah mengenai masa depan.

“Saya mewakili generasi baru, saya mewakili generasi yang akan mencapai kepada Transformasi Negara 2050 (TN50) yang akan menjadi keutamaan dalam kempen dan saya yakin di kawasan Bugaya ini ramai pengundi muda yang mendahagakan pembaharuan sekali gus memerlukan seorang pemimpin yang berkaliber dan berwawasan.

“Telah katakan sebelum ini bahawa saya telah lama bergerak di kawasan Bugaya dan saya bukan orang asing di kawasan ini. Walaupun saya dikatakan muka baharu tetapi muka inilah yang sering kali keluar masuk di Bugaya,” katanya.

RAZAK SAKARAN

Razak berkata demikian ketika ditemui dalam kempen PRU14 beliau di kawasan Kampung Labuan Senang, Bugaya, di sini, hari ini.

Sementara itu, Manis Muka pula berpendapat sokongan pengundi terhadap Warisan yang digembeleng bersama Presiden parti, Shafie Apdal akan membawa perubahan besar dalam lanskap politik di daerah Semporna dan Bugaya secara amnya.

“Saya tahu setelah penamaan calon, kita akan bertembung perlawanan enam penjuru yang mana saya dengan parti-parti lain tidak mempunyai masalah.

“Tetapi pertembungan dengan anak buah sendiri iaitu, Datuk Razak itu lain, keluarga tetap keluarga kita sayang keluarga Namun, Warisan tetap berjalan dan tetap bertentangan parti yang menentang,” katanya.

Ini jelasnya kerana kalau kita lihat konteks di DUN Bugaya sudah berapa tahun diwakili oleh wakil rakyat BN, tiada pembangunan untuk membantu anak-anak muda dan pengganguran dilakukan.

Ujar Manis Muka, sekiranya beliau diberikan peluang menjadi wakil rakyat di kawasan itu, apa yang akan dilakukan adalah membina kilang perindustrian dalam usaha memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat terutamanya golongan belia.

Ditanya mengenai keunikan nama Manis Muka Dara, beliau menyifatkan nama berkenaan membawakan tuah kepada empunya diri sehingga menjadi terkenal di serata tempat.

Mengakui ia adalah nama sebenar yang diberikan oleh nenek moyangnya dahulu, Manis Muka turut berharap nama itu sekali lagi memberi tuah kepada dirinya untuk memenangi kerusi DUN Bugaya kali ini. – Ruzaini Zulkepli, Astro Awani

BACA DISINI: –

http://www.astroawani.com/berita-politik/anak-buah-dan-makcik-rebut-kerusi-bugaya-174247