PRU-15 : Warisan Tuntut Hak Kekal Rakyat Sabah Dan Sarawak Bukan Boneka Kepada Malaya – Mohd Azis

KOTA KINABALU: Calon Parti Warisan (Warisan) Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman menyelar Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor kononnya Parti Warisan hanya berminat kepada jawatan Perdana Menteri (PM) sekali gus menolak jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Menurutnya, apa yang Warisan perjuangkan adalah menuntut hak kekal melibatkan kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak.

“Jawatan TPM bukanlah jawatan pemegang kuasa eksekutif dan hanya bersifat sementara. Jika Perdana Menteri bertukar, dasar berubah sudah tentu tiada jaminan jawatan tanpa kuasa itu kekal kepada Sabah.

“Malah jawatan itu hanya akan menjadikan pemimpin Sabah dijadikan boneka dan pak turut kepada sesiapa yang akan menjadi Perdana Menteri.

“Jika tidak ikut arahan, maka PM punya kuasa menukar serta memecat Timbalan Perdana Menteri.

“Hajiji dan Bung Moktar perlu sedar selama ini mereka masih sujud kepada Malaya….Tetapi jika mandat itu diberikan kepada Warisan, kami akan tuntut seperti terkandung MA63,” katanya dalam siri ceramah di Kampung Cenderamata Likas malam tadi.

Mohd Azis yang juga Ketua Penerangan Warisan berkata, Hajiji serta Bung Moktar perlu sedar berapa ramai Timbalan Perdana Menteri yang sudah dipecat serta dibuang termasuk boss Datuk Hajiji sendiri iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang pernah dipecat dari jawatan TPM pada 2015 oleh Datuk Seri Najib Razak.

“Rakyat pada 19 November ini (Sabtu) perlu menolak puppet (boneka) di Parlimen yang hanya tunduk kepada semua arahan Malaya.

“Warisan menolak jawatan berkenaan kerana rakyat Sabah lebih memerlukan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), rakyat Sabah bukannya mahukan jawatan TPM.

“Presiden Warisan sendiri pernah ditawarkan jawatan TPM ketika pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Tan Sri Muhyiddin dan ketika kerajaan Persekutuan diterajui Datuk Seri Ismail Sabri. Kita tolak tawaran itu,” katanya.

Menurut Mohd Azis, apa yang dimahukan rakyat Sabah dan Sarawak ialah pelaksanaan sepenuhnya dengan segera dan tanpa bertangguh lagi MA63 yang telah dipersetujui sekian lama di antara Sabah, Sarawak dan Persekutuan Tanah Melayu ketika pembentukan Malaysia.