PRU-15: Pertandingan Empat Penjuru di Labuan

LABUAN: Persaingan empat penjuru dijangkakan untuk kerusi Parlimen Labuan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Persaingan itu adalah antara penyandang kerusi Parlimen Labuan iaitu Ketua Bahagian Parti Warisan Labuan merangkap ahli majlis tertinggi Warisan pusat Datuk Rozman Isli.

3 lagi calon yang dijangka bertanding di Kerusi Parlimen Labuan ialah Ketua Bahagian Umno Labuan, Senator Datuk Bashir Alias, Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Labuan merangkap ahli majlis tertinggi Bersatu pusat Datuk Suhaili Abd Rahman dan Ketua Bahagian Parti Amanah Dr Ramli Tahir.

Pencalonan Suhaili disahkan oleh kepimpinan PAS Labuan yang menyatakan bahagian itu akan memberi sokongan kepada calon Perikatan Nasional dari Bersatu dalam PRU-15 kali ini.

Manakala pencalonan Dr Ramli melalui pengumuman oleh kepimpinan Amanah dan edaran senarai calon Amanah.

Pencalonan semula Rozman sebagai calon Warisan telah dijangka oleh ramai pihak dan Bashir pula dipersetujui oleh barisan kepimpinan Umno Labuan.

Keempat mereka dijangka akan menerima watikah sebagai calon.dalam minggu in, sebaik pucuk pimpinan parti mengumumkan senarai calon masing -masing.

Menurut penganalisa politik Dr Amirudin Abas, seorang calon bebas dijangka akan turut bertanding menjadikan persaingan lima penjuru, namun setakat hari Ini belum ada pengesahan konkrit.

Namun sudah pasti persaingan empat calon- Rozman, Bashir, Suhaili dan Dr Ramli akan melihat perpecahan undi Melayu.

Untuk rekod, Rozman, Bashir dan Suhaili pernah bersama dalam UMNO sebelum ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 19 November sebagai hari pengundian bagi PRU-15.

Sementara hari penamaan calon pula ditetapkan pada 5 November manakala hari pengundian awal pada 15 November ini.