PRU-15, Jangan Lagi Pilih Perdana Menteri Di Hotel Pada PRU-15

KOTA KINABALU: Rakyat Sabah perlu bangkit pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) agar tidak lagi diperbodohkan.

Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, kerajaan sebelum ini telah memperbodohkan rakyat dengan membuat pemilihan Perdana Menteri hanya di sebuah hotel.

“Kerajaan ini boleh memutuskan siapa kerajaan di hotel melalui Langkah Sheraton dengan memilih Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

“Mereka tidak mengambil kira undi rakyat, yang mereka ambil kira suara mereka.

“Kemudian semasa Barisan Nasional (BN), mereka bermesyuarat dengan 39 ahli Parlimen sahaja untuk memutuskan siapa Perdana Menteri iaitu Ismail Sabri.

“Bukan rakyat yang memutuskan siapa Perdana Menteri, mereka yang putuskan. Suara rakyat telah hilang,” katanya semasa Majlis Ramah-Mesra Bersama Masyarakat Kawasan Parlimen Kalabakan hari ini.

Untuk itu, pada PRU-15, rakyat perlu bijak memilih parti yang akan memperjuangkan nasib mereka.

Beliau berkata, pengalaman dalam membentuk kerjasama sebelum ini cukup memadai.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, pengalaman dalam politik semasa bersama BN dan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) sudah cukup bagi Warisan.

“Saya tolong Christina Liew di Tawau semasa PRU14 namun, apa jadi? Bila kita tolong mereka, kita pula dikhianati sehingga terpaksa bubarkan Dewan berikutan tiga ADUN mereka melompat.

“Kalau tidak melompat, Warisan masih lagi kerajaan. Pada masa itu, kita serahkan keputusan kepada rakyat untuk memutuskan siapa menjadi kerajaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau juga menyatakan kebimbangan tentang proses pentadbiran tanah di negeri ini.

Katanya, semasa pemerintahan Warisan, mereka memberikan geran tanah kepada rakyat di seluruh Sabah.

Kerajaan sebelum ini telah memberi tanah kepada Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) untuk membolehkan peneroka mengusahakan tanah tersebut.

Walau bagaimanapun, ia tidak menjadi kenyataan dan sebahagian besar tanah kini diuruskan sepenuhnya oleh FELDA. Ia tersasar dari tujuan asal penubuhannya.