Proses Vaksinasi Remaja Sabah Kini Mencapai 63.5 Peratus

KOTA KINABALU: Kadar vaksinasi remaja Sabah sudah mencapai 63.5 peratus atau 270,656 orang dengan sekurang-kurangnya dos pertama.

Namun, bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun yang sudah menerima vaksin lengkap pula adalah seramai 419 orang.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, sehingga kini 74.3 peratus atau 2.05 juta penduduk di Sabah telah menerima vaksin.

Untuk penduduk yang menerima vaksin lengkap pula seramai 1.82juta yang meliputi 65.8 peratus atau 1.81 juta penduduk dewasa.

Masidi berkata, peningkatan kadar vaksinasi ini menyumbang kepada trend penurunan kes harian Covid-19 di Sabah dan hari ini Sabah mencatatkan 767 kes positif dengan 14 kes kematian dan tiada sebarang kluster baharu.

Trend penurunan ini sejajar dengan jumlah daerah yang mencatatkan penurunan iaitu 15 daerah, manakala 11 daerah lain mencatatkan sedikit peningkatan.

Hari ini, Kota Kinabalu mencatatkan 112 kes positif, diikuti dengan Ranau 56 kes, Keningau 55 kes, Lahad Datu 53 kes dan Kota Belud 45 kes.

Menurutnya, sistem kemaskini data bagi daftar lewat kes jangkitan harian juga berada dalam keadaan baik biarpun jumlah kes tertunggak untuk kes daftar melebihi 4 hingga 5 hari ini meningkat sedikit berbanding semalam.

Bagaimanapun, trend saringan kontak rapat sebagai penyumbang utama dengan 54.63 peratus daripada jumlah kes harian hari ini.

Jelasnya, 35.07 peratus kes hari ini dikesan daripada saringan bergejala dan ini menunjukkan trend jangkitan di Sabah sudah merebak ke dalam seluruh komuniti.

“Analisa ini jelas menunjukkan kita tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada petugas barisan hadapan dan juga penguatkuasaan.

“Kita perlu menerima hakikat bahawa kita perlu hidup bersama virus dan amalan terbaik yang boleh disarankan ialah pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kendiri, selain daripada program vaksinasi yang sedang giat dijalankan,” katanya.

-TAMAT-