Proses Pengundian Lancar Tanpa Ancaman Keselamatan – Hazani

Oleh SURAIDAH ROSLAN
PAPAR: Proses pengundian sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 setakat tengahari tadi berjalan lancar tanpa ada sebarang ancaman keselamatan berlaku.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali dalam satu sidang media hari ini berkata, proses perjalanan PRN Sabah setakat ini berjalan lancar.

Maka, tidak patut wujud kegusaran dalam kalangan masyarakat berkaitan ketenteraman awam dan keselamatan kerana keadaan tenang dan terkawal.

Untuk PRN Sabah, hampir 20, 000 orang pasukan keselamatan yang terdiri daripada 7,189 orang pegawai dan anggota polis serta 10 peratus anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) ditugaskan di seluruh Sabah bagi mengawal keadaan keselamatan.

Beliau berharap keadaan yang terkawal itu akan berlanjutan sehingga tamat proses mengundi pada 5 petang ini.

Hazani turut menasihatkan orang awam dan penyokong parti-parti politik untuk tidak menimbulkan sebarang provokasi yang boleh menimbulkan kekacauan.