Proses Pemutihan Rumah Mampu Milik Akan Dilaksana – Jaujan

116

TUARAN: Kementerian Kerajaan Tempatan & Perumahan dalam proses melaksana pemutihan di seluruh Sabah terhadap pemilik rumah mampu milik yang bertindak menyewakan rumah kepada pihak lain.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Jaujan Sambakong berkata, tindakan akan diambil terhadap mana-mana pemilik yang didapati menyewakan rumah mereka kepada orang lain.

Beliau berkata, laporan mengenai kes-kes menyewakan rumah ini telah diterima.

Bagaimanapun, sebelum tindakan diambil, pemilik rumah yang terlibat dinasihatkan menyerahkan semula rumah mampu milik itu kepada kerajaan. Ini bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak sahaja menerimanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Gotong Royong Program Perumahan Rakyat (PPR) Telipok Ria sempena Bulan Kemerdekaan, di sini pada Khamis.

Jaujan berkata, walaupun Sabah antara negeri yang banyak dibina rumah mampu milik namun, ia masih tidak mencukupi.

“Berkemungkinan unsur penyelewengan sebegini antara punca menyebabkan ramai rakyat tempatan di Sabah tidak mempunyai rumah.

“Usaha kerajaan untuk menyediakan kemudahan rumah mampu milik kepada rakyat tidak akan dicapai sekiranya keadaan sebegini berterusan,” katanya.

Katanya, tindakan menyewakan rumah mampu milik menyalahi undang-undang.

Mengulas lanjut, Jaujan juga mahu kebersihan persekitaran diberi perhatian agar usaha kerajaan membangunkan negara ini dapat dijayakan.

Beliau berkata, sampah perlu dibuang di kawasan yang disediakan dan bukannya ke dalam parit atau longkang. Tindakan sebegitu akan menyebabkan berlakunya banjir kilat disebabkan saliran perparitan yang tersumbat.

Katanya, kemudahan perparitan dan tong sampah sudah disediakan, minda rakyat itu perlu pandai berfikir untuk menggunakan segala kemudahan dengan sebaik-baiknya.