Proses Pembangunan Di Sabah Dan Sarawak Tidak Jejas NCR

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memastikan sebarang proses pembangunan tidak akan menjejaskan pengiktirafan ke atas Hak Tanah Adat (NCR) di Sabah dan Sarawak.

Menurut Buku Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) yang dilancarkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di sini hari ini, dasar kerajaan dalam pengurusan polariti perlu mengangkat kelestarian hak anak negeri Sabah dan Sarawak dengan mengambil kira perkara yang telah dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Antara isu utama untuk kumpulan sasaran ini adalah Hak Tanah Adat (NCR), khususnya dalam memastikan sebarang proses pembangunan tidak menjejaskan pengiktirafan ke atas NCR.

“Selain itu, akses kepada kemudahan jalan raya, infrastruktur asas, kesihatan dan pendidikan yang berkualiti terutamanya untuk masyarakat pedalaman Sabah dan Sarawak juga perlu diberikan keutamaan,” menurut buku berkenaan.

Selain itu, WKB2030 menyatakan kesejahteraan masyarakat Orang Asli akan diberi keutamaan dalam dasar dan inisiatif kerajaan supaya mereka turut sama dapat mengecapi nikmat pembangunan ekonomi negara.

Menurut buku itu, ini kerana sebahagian besar masyarakat Orang Asli masih dibelenggu masalah kemiskinan akibat ketinggalan dalam aspek pendidikan, kemahiran dan keusahawanan.

Pengurusan polariti yang melibatkan masyarakat Orang Asli mesti ditumpukan kepada usaha untuk meningkatkan pencapaian pendidikan, penjagaan kesihatan, akses kepada kemudahan jalan raya, infrastruktur dan ameniti yang baik.

“Pemberian hak milik tanah kepada Orang Asli juga perlu mengambil kira faktor peluang mereka untuk menyertai arus pembangunan dan hak untuk terus mengamalkan budaya dan warisan tradisi,” jelas dokumen itu.

Menurut WKB2030, oleh yang demikian, isu melibatkan pemberian hak milik tanah Orang Asli perlu diberikan perhatian yang wajar dan satu dasar khas perlu digubal untuk menangani isu ini.

Isu yang dihadapi oleh masyarakat dalam transisi ekonomi seperti pemilikan rumah, akses kepada kepada kemudahan asas yang baik dan pendidikan berkualiti, perlu ditangani.

Menurut buku berkenaan, masyarakat dalam transisi ekonomi melibatkan kumpulan yang mudah terjejas dalam konteks transisi ekonomi termasuklah masyarakat yang berhijrah dari estet, kumpulan miskin bandar dan setinggan serta masyarakat desa dalam perubahan urbanisasi dan perindustrian.

Langkah ini termasuk menyediakan peluang untuk meningkatkan penyertaan mereka dalam aktiviti ekonomi yang menjana pendapatan lebih tinggi.

(Visited 1 times, 1 visits today)