Proses Kembalikan Status Rakan Sekutu Sabah, Sarawak Diteruskan

357

KUCHING: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) masih meneruskan usaha untuk mengembalikan status rakan sekutu kepada Sabah dan Sarawak termasuk menyelesaikan beberapa perkara berbangkit sebagaimana diperuntukkan dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Bagi melancarkan usaha berkenaan, Perdana Menteri berkata kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet untuk menyemak pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 atau MA 63.

“Kesemua 23 ahli jawatankuasa itu yang terdiri daripada menteri-menteri Kabinet Persekutuan, Ketua Menteri Sarawak dan Ketua Menteri Sabah yang telah bermesyuarat beberapa kali untuk berbincang dengan lebih lanjut mengenai perkara ini,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Malaysia 2019 di Stadium Perpaduan, Petra Jaya di sini, malam ini.

Pada April lepas, kerajaan telah membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu Semenanjung Tanah Melayu, di Dewan Rakyat, namun gagal mendapat sokongan dua pertiga.

Pembentangan rang undang-undang itu, yang selaras dengan semangat MA 63 selain memenuhi aspirasi dan harapan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak serta rakyat kedua-dua negeri, adalah sebagai memenuhi janji PH dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata kerajaan juga telah bersetuju untuk menyerahkan sepenuhnya urusan pentadbiran Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan kepada kerajaan negeri Sabah kecuali perkara berkaitan dengan keselamatan yang masih terletak di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan.

Dr Mahathir berkata penyerahan itu adalah satu hasil perundingan Jawatankuasa Khas Kabinet MA 63 dan ia memperlihatkan kesungguhan kerajaan PH memenuhi Perjanjian Malaysia 1963.

“Kita harap rakyat dan pemimpin dari kedua-dua negeri ini dapat melihat kesungguhan dan keikhlasan kerajaan Persekutuan untuk meletakkan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi kepada Semenanjung Tanah Melayu seperti yang termeterai ketika Malaysia dibentuk bersama,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri berkata kerajaan melalui Kementerian Pertahanan sedang mempersiapkan Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang bakal menggariskan peranan yang boleh dimainkan oleh segenap lapisan masyarakat agar pertahanan negara menjadi satu usaha sama nasional.

Dr Mahathir berkata KPP itu juga mencerminkan komitmen kerajaan terhadap keutamaan rancangan masa hadapan pertahanan negara dengan mengambil kira trend global yang terkini agar sejajar dengan realiti semasa serta cabaran yang menanti pada masa depan.

“Kita harus sedar bahawa kesejahteraan, keamanan dan kemakmuran negara hanya boleh dicapai sekiranya rakyat di semua peringkat sedar akan peranan masing-masing,” katanya

Dr Mahathir berkata Malaysia yang dikelilingi tiga laluan utama – Selat Melaka, Laut Cina Selatan dan Laut Sulu – perlu memastikan keselamatan perairan dan lautannya demi kesejahteraan negara.

Beliau berkata konsep negara maritim bukanlah suatu yang baharu kepada Malaysia kerana pernah menjadi laluan pilihan Timur ke Barat, dan sebaliknya serta pada masa kini berpotensi menjadi pintu masuk atau “gateway” antara Lautan Pasifik dan Lautah Hindi.

“Jika kita berupaya memastikan keselamatan di perairan kita, maka potensi ekonominya pasti dapat kita ceburi dan nikmati,” katanya.

Kertas Putih Pertahanan dijadual dibentangkan di Parlimen pada Oktober ini.