Prosedur Tetap Selam Scuba Akan Diwujudkan – Christina

151

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar memandang serius insiden berbahaya yang dilakukan ketua penyelam (dive master) yang menyelam bersama pelancong tanpa menggunakan jaket kawalan pengapungan (BCD) yang dipercayai berlaku di Pulau Timba-Timba, Semporna.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata, insiden sebegini dilihat akan menjejaskan imej pelancongan Sabah.

Seiring dengan itu, untuk penyelesaian jangka panjang, satu pendekatan kolektif dan holistik akan diambil bagi memantau dan mengawal aktiviti selam Scuba di negeri ini.

Beliau berkata, untuk itu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Sabah sedang menyediakan Prosedur Tetap (SOP) bagi aktiviti selam Scuba dibawah ISO 21101-2014 Sistem Pengurusan Pelancongan Kembara.

“SOP itu akan meliputi selaman pengenalan Scuba atau discovery Scuba Dive.

Pemandu penyelam tidak bertauliah tidak mematuhi SOP ketika melakukan aktiviti skuba di perairan Pulau Timba-Timba, Semporna, baru-baru ini.

“Sebelum Prosedur Tetap bagi aktiviti selam Scuba ini dimuktamadkan, kami akan mengadakan satu bengkel khas untuk mendapatkan pandangan dan input daripada pelbagai pihak terutama penggiat industri selaman.

“Saya juga telah mengarahkan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar untuk bekerjasama dengan Pejabag MOTAC Sabah untuk tujuan itu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai video dan gambar yang tular menunjukkan Dive Master menyelam tanpa menggunakan BCD.

Berikutan itu, Persatuan Penyelam Profesional Semporna (SPDA) meminta pihak berkaitan supaya menyiasat dan mengambil tindakan terhadap pengusaha pelancongan yang mengambil Dive Master tidak bertauliah sebegitu.

Menurut Timbalan Presiden SPDA Dahlan Mazin, tindakan sebegitu tidak mematuhi peraturan ditetapkan kerana mengabaikan aspek keselamatan sehingga boleh mengancam nyawa pelancong dan penyelam.

“Hasil siasatan SPDA, individu terlibat merupakan Dive Master tidak bertauliah dan tidak mempunyai lesen.

“Kami dapati semakin banyak pengusaha pelancongan di Semporna menggunakan khidmat Dive Master mahupun jurulatih selaman haram yang tidak berlesen demi mengaut keuntungan,” ujarnya.

Dahlan berkata, pengusaha pelancongan perlu membayar komisen sekitar RM75 hingga RM200 kepada Dive Master dan jurulatih selaman bertauliah berdasarkan pakej selaman yang diambil. Namun, mereka hanya perlu membayar antara RM10 hingga RM40 kepada Dive Master atau jurulatih selaman haram.

BERITA BERKAITAN :-

Jurulatih Selaman Haram Pertaruh Nyawa Pelancong Di Semporna