Projek Seni Jalanan Ceriakan Jalan Lama Di Labuan

159
Datuk Rozman Isli bersama Ah Ming bergambar dihadapan mural tersebut.

LABUAN: Artis tempatan dan dari Semenanjung berjaya memberi nafas baru di dinding bangunan lama di Labuan dengan cara menghidupkannya semula menerusi sentuhan artistik hingga tercipta satu hamparan seni mural gergasi.

Sekurang-kurangnya 13 mural dan 3D (lukisan tiga-dimensi) dihasilkan oleh lima artis dari Kuala Lumpur dan lima dari Labuan dan Sabah telah menyerikan dinding luaran bangunan yang berusia lebih satu dekad dengan menyalurkan mesej dan tujuan tertentu.

Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Muhammad Bakhtiar Wan Chik yang menyaksikan penyudahan lukisan mural itu hari ini berkata, projek seni jalanan dan ‘Arca kitar semula’ ditaja sepenuhnya oleh kementerian dan diselaras agensi di bawahnya iaitu Balai Seni Negara agar siap lebih awal sebelum Tahun Melawat Malaysia 2020.

“Artis berkenaan telah menghidupkan semula bangunan lama berkenaan dengan kemahiran melukis yang menakjubkan… mereka membantu menjadikan bangunan berkenaan yang nampak membosankan hingga menjadikannya nampak cantik dengan lukisan mural yang menarik,” katanya pada majlis penutupan Mural dan Arca Awam dengan Komuniti 2019 di sini, hari ini.

Antara mural popular yang dihasilkan ialah potret seorang lelaki Cina berusia 62 tahun, yang dikenali sebagai Uncle Ah Ming, yang mewarisi perniagaan ‘air cincau’ 52 tahun mendiang bapanya dan mural pemain bola sepak Malaysia kelahiran Labuan, Datuk Hassan Sani.

Lukisan mural yang lain ialah ikan merlin biru yang menjadi identiti Labuan, sebuah pulau yang popular dengan penangkapan ikan laut dalam.

Semua mural itu dipaparkan di sepanjang jalan dari Lorong Tanjung Pasir, Jalan Utama Bandar Labuan sehingga Terminal Labuan.

“Kami membelanjakan kira-kira RM80,000 untuk projek ini dan berharap ia dapat mencantikkan pulau ini sepanjang kami mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2020.

Bakhtiar berkata, kerajaan menggalakkan sektor swasta untuk menaja projek berkenaan sebagai sebahagian program mencantikkan bangunan dan mereka layak mendapatkan insentif pemotongan cukai sehingga RM700,000 untuk penilaian tahun semasa.

“Projek ini akan membantu mempopularkan Labuan menerusi platform media sosial dan saya berharap lebih ramai orang akan terus berkongsi dan memaparkan mural berkenaan dalam Facebook, Tweeter atau Instagram masing-masing,” katanya.