Projek Perintis Bot Pemungut Sampah Terapung Di Semporna

Oleh ARDYHANSAH AMAT
SEMPORNA: Projek perintis bot pemungut sampah terapung dilihat dapat membantu mengatasi masalah sampah di perairan daerah ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong, berkata, demikian ketika merasmikan pelancaran bot tersebut, di sini, hari ini.

“Saya yakin projek ini dapat memupuk kesedaran awam mengenai kepentingan menjaga alam sekitar khususnya membabitkan perairan.

“Bagaimanapun, kesedaran ini bukan hanya membabitkan penjagaan kebersihan di laut, tetapi perlu meliputi bandar dan tempat tinggal penduduk dalam usaha menjadikan Semporna bebas sampah,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Standley Chong Hon Chung.

Tambah Jaujan, Semporna terkenal sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia kerana memiliki banyak pulau dan kawasan menyelam yang indah seperti Pulau Sipadan, Bohey Dulang dan Sibuan.

“Namun begitu, saya melihat kebersihan pantai masih kurang memuaskan dengan sampah sarap terapung di laut sehingga mencacatkan pemandangan.

“Kebersihan alam sekitar sebenarnya mempunyai kesan terhadap industri pelancongan kerana pencemaran alam sekitar boleh mendapat persepsi negatif daripada pelancong,” katanya.

Sementara itu, Jaujan turut menyampaikan rasa terima kasih krpada syarikat Save The Sea Sdn Bhd kerana memilik Semporna sebagai daerah pertama di Sabah menggunakan bot pemungut sampah terapung itu

“Saya berharap agar kerjasama ini mampu membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi di sini,” katanya.