Projek Penempatan Semula Nelayan Kg Belukut Bermula Tahun Hadapan

97
Faiz (kanan) menyampaikan sumbangan bencana LKIM kepada keluarga mangsa bencana alam di Labuan.

LABUAN: Projek penempatan semula nelayan yang bernilai RM17juta di Kampung Belukut di sini akan dimulakan tahun hadapan kata Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil.

Menurut laporan Bernama yang memetik Faiz sebagai berkata, projek tersebut di atas kawasan seluas empat hektar tanah kerajaan itu akan menempatkan 120 buah rumah setingkat untuk nelayan.

“Peruntukan tersebut adalah untuk penempatan semua nelayan (hanya untuk mereka yang tidak mempunyai tanah) akan turut dilengkapi dengan kemudahan seperti dewan masyarakat, tempat beriadah dan keperluan asas lain, sekali gus akan memberikan komuniti nelayan kualiti kehidupan yang lebih baik,” katanya selepas majlis penyampaian bantuan kepada nelayan yang terjejas akibat bencana alam di sini hari ini.

Muhammad Faiz berkata, sejumlah RM2.2 juta telah dibelanjakan sejak 2012 untuk membaiki rumah nelayan di Labuan.

“Projek tersebut telah diselaraskan Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MPPP) dan Persatuan Nelayan Labuan,” katanya.

Terdahulu Muhammad Faiz turut melawat 13 unit projek perumahan yang setiap satunya bernilai lebih kurang RM68,000 di bawah Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) LKIM di Kampung Bebuloh dan Kampung Lubok Temiang.

“Nilai keseluruhan 13 rumah tersebut adalah RM848,000. Kami sedang melakukan tugas kami bagi membantu memperbaiki taraf kehidupan nelayan, lima rumah telah siap, tiga masih dalam pembinaan dan lima lagi akan dibina pada tahun 2020,” katanya.

Muhammad Faiz berkata, projek fasa kedua Kompleks LKIM Kiamsam bernilai RM20 juta yang telah dimulakan sejak Februari tahun ini, dijadualkan siap hujung tahun hadapan.

Projek itu melibatkan tambahan kemudahan pendaratan melalui kerja pembinaan dan menaik taraf di kompleks tersebut termasuk kuarters kakitangan dan jeti bagi memenuhi keperluan semasa.