Projek Naik Taraf Longkang Tidak Jejaskan Peniaga

MOHD HARDY

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Lebih 20 peniaga di Jalan Kuhara menarik nafas lega apabila dimaklumkan kerja menaik taraf longkang di situ tidak akan menjejaskan perniagaan mereka.

Jurutera Bahagian Jabatan Kerja Raya (JKR) Tawau, Mohd Hardy Laidin berkata, jaminan itu diberikan pihaknya kepada kumpulan peniaga terbabit di hadapan penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjong, Datuk Jimmy Wong, di sini, hari ini.

JIMMY WONG

“Kerja menaik taraf longkang tersebut sudah diluluskan dan dijangka bermula minggu hadapan.

“Ia bertujuan bagi mengatasi masalah banjir kilat di kawasan berkenaan selain membersihkan laluan longkang yang tersumbat sebelum ini,” katanya.

Tambah Mohd Hardy, bagi mengatasi masalah itu, kerja lebaran dan pendalam longkang akan dilakukan.

“Bagaimanapun, kerja itu akan membabitkan laluan masuk ke dalam premis berkenaan sehingga menyebabkan peniaga bimbang pendapatan terjejas.

“Sebenarnya, JKR sudah melakukan perancangan rapi termasuk menyediakan laluan alternatif di kawasan tersebut bagi kemudahan peniaga,” katanya.

Perkara itu sudah diterangkan kepada pemilik premis menerusi sesi taklimat khas di pejabat JKR Tawau, Batu 4, hari ini.

Difahamkan projek sepanjang 450 meter yang menelan perbelanjaan RM1.4 juta itu dijangka siap sepenuhnya sebelum hujung tahun ini.

Sementara itu, Jimmy yang ditemui berpuas hati dengan penerangan JKR berhubung projek naik taraf berkenaan.

“Projek itu bertujuan untuk mengatasi masalah banjir kilat yang sering berlaku di kawasan tersebut.

“Bagaimanapun, sudah tentu sebagai peniaga, mereka bimbang jika projek tersebut menutup terus laluan masuk ke premis mereka,” katanya.