Projek Loji Rawatan Air Kinabenua Siap Hujung Tahun Ini

LABUAN: Projek menaik taraf Sistem Takungan Air Mentah di Muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Kinabenua, Kampung Sungai Bedaun dijangka siap sepenuhnya pada hujung tahun ini.

Pengarah Jabatan Bekalan Air (JBA) Labuan, Muhammad Zulkeflee Yusof berkata projek yang bernilai RM8 juta itu melibatkan kerja-kerja pembesaran dan pendalaman takungan air yang sedia ada bagi meningkatkan kapasiti keperluan sumber air di Labuan.

Dalam taklimat sempena lawatan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bashir Alias ke loji berkenaan hari ini beliau berkata projek menaik taraf takungan loji rawatan air di Kinabenua ini yang dimulakan pada Oktober tahun lepas di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 bakal memberi manfaat kepada ribuan penduduk disekitar Kampung Sg Bedaun.

“Takungan air yang dinaik taraf dengan keluasan 100 meter panjang dan dan 200 meter lebar serta kedalaman lima meter berupaya membekalkan air tiga juta liter air sehari (3mld) kepada pengguna, selain mampu menampung bekalan air sehingga 14 hari, sekiranya bekalan air dari Loji Rawatan Air Lawa di Gadong Beaufort Sabah menghadapi masalah,” katanya.

Labuan kini masih bergantung 90 peratus bekalan air melalui paip dasar laut dari tanah besar Sabah iaitu di Beaufort.

Sementara itu, Bashir berharap projek berkenaan akan dapat disiapkan mengikut jadual sambil mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana telah meluluskan projek yang menjadi keutamaan dan kepentingan rakyat Labuan.