Projek Jalan Labuan Tingkatkan Aliran Trafik, Keselamatan – Rozman

LABUAN: Sekurang-kurangnya 35 peratus pengguna jalan raya di pulau ini akan menikmati aliran lalu lintas yang lebih lancar sebaik sahaja projek jalan pantai bernilai RM125 juta yang menghubungkan kawasan kediaman ke pusat bandar siap pada penghujung tahun depan.

Projek jalan pantai Membedai-Tanjung Aru yang dibina, satu peratus lebih awal dari jadual, bermula pada Disember 2017 bertujuan untuk meningkatkan laluan menghubungkan Labuan dan mengurangkan kesesakan lalu lintas di Jalan Tun Mustapha.

Anggota Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli berkata sebaik sahaja projek itu siap sepenuhnya, ia akan membantu pengguna jalan raya dari Kampung Lajau, Tanjung Aru, Kerupang 1, 2 dan 3, Nagalang dan kampung-kampung berhampiran serta kawasan kediaman memandu dengan lebih lancar ke pusat bandar.

“Ini merupakan sebahagian daripada Rangka Tindakan Pembangunan Labuan 2030 untuk memperbaiki perhubungan di pulau ini, terutamanya bagi rakyat Labuan dan untuk mendapatkan keyakinan pelabur,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat projek Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pemeriksaan tapak.

Beliau berkata dengan kemudahan jalan raya itu akan menggalakkan pertumbuhan ekonomi di kawasan sekitarnya melalui kesan limpahan.

Pengarah JKR Labuan Alfred Sim Seck Puan berkata projek itu berjalan lancar tetapi menambah terdapat kemungkinan kelewatan bermula Julai berikutan isu pengambilan tanah.

“Tetapi kami percaya proses pendengaran (yang antara lain termasuk isu pampasan) akan dijalankan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG), kontraktor, pihak berkuasa berkaitan dan pemilik tanah, akan diselesaikan secara baik dan projek boleh dilaksanakan secara lancar,” katanya.

Sim berkata sejumlah 8.5 hektar daripada keseluruhan 20.21 hektar yang terlibat dalam projek tersebut membabitkan 54 orang pemilik tanah dan tanah selebihnya dimiliki oleh JKPTG dan kerajaan.

Rozman juga berkata projek penaiktarafan jalan raya Pohon Batu-Pancur Hitam (Fasa 2) kepada dua hala bernilai RM33.6 juta, adalah 14 peratus lebih awal daripada jadual.

Beliau berkata projek itu bermula pada Ogos 2017 dan dijangka siap menjelang Ogos 2020, yang akan mengurangkan aliran trafik dari Kg Ganggarak dan Kg Lajau ke pusat bandar.

“Kedua-dua projek itu akan menamatkan kesusahan yang dihadapi penumpang dan pemandu kereta, terutama yang melalui Jalan Tun Mustapha setiap hari. Ia akan meningkatkan aliran lalu lintas; ia akan meningkatkan keselamatan di kawasan tempatan…ini yang rakyat dambakan selama ini,” katanya.