Projek IC Sabah : Laporan RCI Siap Pada 2014, Darell Tanya Kenapa Najib Tak Ambil Tindakan?

KOTA KINABALU : Timbalan Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Darell Leiking membidas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana tidak bertindak terhadap saranan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang asing tanpa izin di Sabah.

Memetik laporan Free Malaysia Today, Darell berkata, teguran Najib terhadap pertanyaannya mengenai parti komponen Barisan Nasional (BN) yang terlibat dalam pemberian kad pengenalan (IC) kepada pendatang asing hanya menyerlahkan bahawa tiada tindakan diambil walaupun pihak yang bertanggungjawab, diketahui.

“Apa berlaku kepada saranan RCI? (Laporannya) lengkap pada 2014, dan pilihan raya umum berikutnya (PRU-14) diadakan pada 2018, cukup empat tahun selepas (siasatan) RCI selesai.

“Adakah anda, sebagai Perdana Menteri (pada ketika itu), mengarahkan Peguam Negara untuk mengemukakan tuduhan terhadap mereka yang dikenal pasti dalam laporan itu?” soal Darell di laman Facebooknya, Sabtu lalu.

Dalam catatan Facebook sebelum itu, Najib menjawab pertanyaan asal Darell dengan mendedahkan pihak yang terlibat.

“Parti BN yang terlibat projek IC di Sabah pada 1990-an ialah UMNO di mana pelaku utamanya ialah (Dr Mahathir Mohamad),” kata Ahli Parlimen Pekan itu.

“Tapi Mahathir kata timbalannya masa itu Anwar yang buat pula ketika Anwar ditugaskan untuk menang Sabah masa itu.”

Tambah Najib, inisiatif yang diambilnya untuk menubuhkan RCI pada 2013 untuk mencari kebenaran menyebabkan Mahathir “marah” padanya.

Najib turut mempersendakan Darrell kerana menerima Mahathir dan Anwar sebagai “boss” di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) terdahulu.

Namun, Darell berkata, laporan RCI itu tidak mendedahkan siapa yang bertanggungjawab.

“Terima kasih kerana akhirnya mengakui bahawa UMNO mendapat manfaat daripada skandal IC. Tetapi saya tak jumpa nama Mahathir atau Anwar disebut dalam laporan RCI itu,” katanya.

Khamis lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Maximus Ongkili mendakwa bahawa sebuah parti komponen BN memberi kad pengenalan Malaysia kepada pendatang asing di Sabah untuk meraih undi.

Tanpa menyebut nama parti itu, presiden PBS itu berkata, penglibatan parti terbabit menggunakan pendatang tanpa izin untuk kepentingan politik telah dibuktikan oleh RCI.

Maximus berkata, tindakan parti komponen BN itu menimbulkan ancaman kepada kedaulatan Sabah, dan PBS telah membuat aduan dan laporan polis mengenainya, tetapi tiada tindakan diambil.