Projek CSI Petronas Di Sabah Dipantau – Ketua Menteri

Ketua JKKK dari 10 kampung di Kota Marudu dibawah program ‘Planting Tomorrow’ bergambar kumpulan dengan Musa Aman dan Tan Sri Sidek Hassan.
Ketua JKKK dari 10 kampung di Kota Marudu dibawah program ‘Planting Tomorrow’ bergambar kumpulan dengan Musa Aman dan Tan Sri Sidek Hassan.

KOTA MARUDU – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman mahu pelaksanaan program Pelaburan Sosial Korporat (CSI) Petronas bernilai RM18 juta untuk negeri itu dipantau rapi bagi memastikan ia mencapai objektifnya.

Musa, yang juga Menteri Kewangan Sabah, berkata pemantaun itu penting bagi memastikan dana yang akan disalurkan Petronas secara berperingkat sepanjang tempoh empat tahun pelaksanaannya digunakan secara optimum.

Pelaburan CSI itu adalah untuk menjayakan pelaksanaan tiga inisiatif iaitu ‘Planting Tomorrow’, ‘Food Basket’ dan Pembangunan Belia.

“Kami akan memantu pelaksanaan pelbagai projek di bawah peruntukan Petronas itu supaya ia siap mengikut jadual dan hasilnya dapat mencapai sasaran untuk membantu rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran program CSI Petronas untuk Sabah, di sini hari Khamis.

Hadir sama, Pengerusi Petronas, Tan Sri Sidek Hassan.

Mengenai pembinaan Pusat Pembelajaran Imbak Canyon serta program berkaitan bernilai RM83 juta, Musa berkata ia merupakan komitmen besar Petronas dalam membantu melestarikan khazanah hutan.

Pusat berkenaan merupakan hasil usahasama Petronas dan Yayasan Sabah untuk memulihara khazanah hutan simpan Imbak Canyon seluas 30,000 hektar yang kaya dengan flora dan fauna.

Katanya, dengan program konservasi berkenaan, Sabah mendahului negara-negara lain di dunia dari aspek pemuliharaan khazanah hutan.

Menurut Musa, selain program CSI berkenaan, Petronas juga akan membina Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Ranau dan dua buah asrama harian di sekolah-sekolah terpilih tahun ini.

Antara tahun 2011 hingga 2016, Petronas telah melabur sebanyak RM184.8 juta untuk melaksanakan pelbagai program di Sabah, termasuk RM83 juta untuk memulihara hutan simpan Imbak Canyon.