Projek BALB Tawau Dalam Proses

921

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di Jalan Bukit Quion dan kawasan sekitar Tawau kini dalam proses pelantikan juruperunding dan dijangka siap tidak lama lagi.

Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri, Datuk Peter Anthony berkata, proses berkenaan dilakukan diperingkat Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan dijangka siap pada Mei 2019.

“Projek ini akan mengambil masa selama enam bulan bagi kerja-kerja kajian dan penyedian rekabentuk terperinci serta penyedian dokumen tender,” katanya melalui jawapan bertulis dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.

Peter menjawab soalan yanG dikemukakan Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (Bersatu-Apas) yang ingin tahu status projek berkenaan yang telah diluluskan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Menurut Peter, projek berkenaan adalah di bawah pelan pusingan pertama 2016 dan diluluskan di bawah KPLB Persekutuan.

“Projek ini adalah bertujuan untuk membina sebuah infrastruktur sistem bekalan air yang teratur bagi mengatasi dan menyelesaikan isu bekalan air di kawasan Bukit Quion termasuk di kawasan Ranggu sehingga ke Bandar Sri Indah Tawau.

“Pada masa yang sama, kebanyakaan penduduk yang tinggal di kawasan berkenaan masih belum mendapat air terawat dan masih bergantung kepada bekalan air hujan sebagai sumber untuk kegunaan harian,” tambahnya.