Program TID Gilap Bakat Baru Dalam Sukan Renang Dan Terjun

Peserta yang mengambil bahagian dalan Program TID Sukan Renang dan Terjun.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Usaha mengilap bakat atlet muda dalam sukan renang dan terjun menyaksikan penyertaan 75 orang peserta dari sekolah rendah di sekitar pusat bandaraya dan Sandakan baru-baru ini.

Pencarian atlet baru yang dijalankan melalui Program Mengenal Pasti Bakat (TID) Sukan Renang dan Terjun itu dilaksanakan oleh Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah dengan kerjasama Persatuan Sukan Akuatik Sabah (SASA).

Aktiviti dibawah Program Pelapis dan Bakat Negeri Sabah (PPBNS) itu memperlihatkan penglibatan 21 orang peserta dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Gaya dan SK Mutiara (29 orang).

Di Sandakan pula, program itu melibatkan 25 murid Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Pui Gin.

Program TID yang melibatkan dua sesi itu diisi dengan sesi pengenalan sukan renang dan belajar berenang untuk para peserta, diikuti sesi taklimat untuk ibu bapa berkenaan Program Pelapis dan Bakat serta pengenalan sukan renang.

Pegawai Penyelaras Sukan, MSN Sabah Christle Easther Michael berkata, antara objektif pelaksanaan TID Renang adalah untuk mencari bakat baharu, memberi pendedahan awal untuk kanak-kanak tentang sukan renang serta meningkatkan kemahiran menyelamat (lifesaving skills), menghilangkan rasa takut pada air dan meningkatkan keyakinan diri para peserta.

“Program ini juga menekankan asas kemahiran dalam sukan renang termasuk teknik pernafasan, pengapungan badan dan gaya-gaya renang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Isnin.

Peserta yang menyertai acara terjun dalam Program TID.

Program TID menjelaskan kelebihan dan kepentingan berenang, di mana berenang merupakan aktiviti yang sangat baik untuk kecergasan kerana ianya meningkatkan daya tahan kardiovaskular dan koordinasi tubuh badan.

“Selain itu, penekanan serius juga ditumpukan dalam faktor keselamatan dalam sukan renang termasuk tidak panik, tidak berlari disekitar kawasan kolam, tidak menyelam dan tidak berada di kolam renang tanpa pengawasan.

“Sejajar itu, semua pelatih dinasihatkan untuk sentiasa mengikut arahan jurulatih dan wajib berada di bawah pengawasan semasa berada di kolam renang,” ujarnya.

Sementara itu, Setiausaha SASA Cynthia Chin berkata, pihak persatuan berharap program TID kali ini mampu melahirkan lebih ramai perenang berpotensi untuk mewakili Sabah dan negara.

“Kami (SASA) amat berterima kasih kepada MSN Sabah dan juga ibu bapa yang memberi kepercayaan untuk membawa anak-anak mereka menyertai program ini.

“SASA dan MSN Sabah sentiasa seiringan berusaha mempromosikan sukan akuatik sama ada sebagai aktiviti hidup mahupun menceburkan diri dalam tahap pertandingan,” katanya.