Program Sandakan Bebas Sampah Tumpu Kawasan Pelancongan Di Sepilok

Rainforest Discovery Centre, Sandakan.

SANDAKAN: Program Sandakan Bebas Sampah yang dilancarkan hari Rabu memberi tumpuan kepada kawasan Sepilok dekat sini yang terkenal dengan tarikan pelancongan alam semula jadi dan hidupan liar.

Ia dilaksanakan oleh Rainforest Discovery Centre (RDC), Jabatan Perhutanan Sabah menerusi Program Tindakan Kitar Semula Komuniti Sandakan (Scrap).

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Ketua Bahagian Pengurusan Hutan Lestari Jabatan Perhutanan Sabah Mashor Mohd Jaini di RDC, Sepilok.

Ketua penyelaras program itu Mohd Fadzli Naim berkata aktiviti memungut sampah dijalankan menerusi program itu di sepanjang laluan dari simpang Batu 14 Jalan Labuk hingga ke kawasan pintu masuk Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok.

Katanya ia dikendalikan oleh 13 pelajar praktikal di RDC bersama 100 peserta daripada agensi kerajaan, pusat pelancongan dan penginapan serta komuniti kampung Sepilok.

Menurutnya aktiviti memungut sampah akan diteruskan secara harian dan bulanan oleh agensi terlibat yang dibahagikan kepada tiga zon.