Program Sahabat Maritim, Tingkat Kesedaran

99

LABUAN: Zon Maritim Labuan menjayakan Program Sahabat Maritim di Kampung Lambidan, Menumbok, Sabah bermula 18 sehingga 20 September 2019.

Program selama tiga hari ini bertujuan mewujudkan jalinan kerjasama antara komuniti maritim serta menyantuni penduduk di Kampung Lambidan.

Program ini dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Zon Maritim (Operasi), zon Maritim Labuan, Komander Maritim Nor Bakari bin Abu Bakar.

Pelbagai acara telah dilaksanakan sepanjang program ini berlangsung, antaranya seperti, konvoi bermotosikal yang melibatkan 30 buah motosikal dari kalangan warga Zon Maritim Labuan dan penduduk kampung, taklimat keselamatan di laut, pameran, sukan tarik tali dan gotong royong
pembersihan tanah perkuburan, dewan terbuka, masjid serta balai raya.

“Program Sahabat maritim ini merupakan program kerjasama dalam
melaksanakan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat khususnya
komuniti maritim yang merupakan sasaran dan menjadi fokus utama agensi ini serta mengharapkan program ini dapat mengeratkan hubungan
silaturrahim di antara warga agensi dengan masyarakat,” kata beliau dalam ucapan perasmiannya.

Komander Maritim Nor Bakari bin Abu Bakar berkata, Kampung Lambidan menjadi lokasi pilihan kerana sebahagian besar penduduknya merupakan komuniti nelayan yang merupakan golongan sasar ataupun pelanggan kepada Maritim Malaysia.” Katanya.

Zon Maritim Labuan mengambil berat akan isu keselamatan di laut yang
melibatkan keselamatan komuniti maritim secara umumnya. Justeru, pihak
Maritim Malaysia percaya program ini dapat memberikan kesedaran terhadap keselamatan di laut kepada masyarakat amnya dan komuniti maritim.