Program Peningkatan Pendapatan Antara Dasar Kerajaan Tingkat Pendapatan Isi Rumah B40 – PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneruskan dasar dan strategi untuk meningkatkan pendapatan dan kuasa beli terutamanya isi rumah miskin dalam kalangan B40 bagi tempoh jangka sederhana dan panjang, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga akan menambah baik akses kepada keperluan asas termasuk pendidikan, kesihatan dan perumahan.

“… (selain itu), menggalakkan keusahawanan dan akses kepada pembiayaan kewangan serta meningkatkan perlindungan sosial,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Ismail Sabri berkata kerajaan sebelum ini menyediakan bantuan jangka pendek kepada rakyat di bawah lapan pakej ransangan ekonomi antaranya Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan Bantuan Khas COVID-19 (BKC) Fasa 1 yang keseluruhannya berjumlah RM24.9 bilion dan telah membantu 10.9 juta individu dan isi rumah.

Turut disediakan, moratorium bayaran balik pinjaman kepada lebih tujuh juta peminjam, diskaun bil elektrik sebanyak RM3.14 bilion yang memanfaatkan 8.8 juta individu dan isi rumah, sejumlah RM300,000 kepada setiap Ahli Parlimen termasuk pembangkang bagi melaksanakan Bantuan Bakul Makanan serta mengekal dan mewujudkan pekerjaan termasuk program Subsidi Upah yang membantu kira-kira 300,000 majikan dan mengekalkan lebih 2.7 juta pekerjaan.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata jurang atau peratusan kemiskinan dalam negara dapat dikurangkan apabila sektor ekonomi dibuka yang dapat memberi peluang pekerjaan kepada rakyat atau memulakan perniagaan. 

Beliau berkata bantuan jangka pendek yang disediakan sebelum ini bersifat sementara dan hanya bertahan untuk beberapa waktu.

“Sebagai contoh, apabila kita berikan bantuan kepada peniaga mikro secara ‘one-off cash’ (tunai sekali beri), ia bertahan untuk beberapa waktu… sebab itu pelan kita bagi jangka pendek, sederhana dan panjang untuk memberikan latihan kemahiran semula dan meningkatkan kemahiran untuk mereka diberikan peluang menambah pendapatan atau mencari pendapatan baharu,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Anwar mengenai sama ada bantuan yang disediakan oleh kerajaan sebelum ini mencukupi untuk membantu rakyat. 

Kepada soalan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) sama ada kerajaan bercadang memberikan moratorium tanpa faedah terakru bagi membantu masalah hutang isi rumah, Ismail Sabri berkata perkara itu akan dibincangkan dengan Menteri Kewangan memandangkan kerajaan memahami situasi yang dihadapi rakyat.

Terdahulu, beliau berkata Laporan Anggaran Pendapatan Isi Rumah dan Insiden Kemiskinan yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Ogos menyaksikan pendapatan purata kasar bulanan isi rumah menurun 10.3 peratus daripada RM7,901 pada 2019 kepada RM7,089 pada 2020.

Menurut laporan itu, insiden kemiskinan meningkat kepada 8.4 peratus yang melibatkan 639,800 isi rumah berbanding 5.6 peratus atau 405,400 isi rumah pada 2019. 

“Pandemik COVID-19 telah menyebabkan ekonomi Malaysia menguncup sebanyak 5.6 peratus pada tahun 2020,” kata Ismail Sabri. 

Beliau berkata kira-kira 600,000 isi rumah M40 yang berpendapatan antara RM4,850 dan RM10,959 sebulan telah jatuh ke kumpulan B40.