Program PengIslaman Melalui Kad Pengenalan Di Sabah; JPN Tidak Peka

24447
ZAINNAL AJMAIN

Oleh ZAINNAL AJAMAIN
KOMENTAR: Sekiranya terdapat Program PengIslaman rakyat Sabah melalui kad pengenalan (MyKad) perlu dihentikan dan semua kesilapan perlu diperbaiki. Program seperti ini tidak membawa ap-apa faedah namun, ia menyusahkan hidup ramai rakyat Sabah dan menjadi punca perbalahan daripada lahir sehingga ke liang lahat.

Pada 13 November 2014, di Dewan Undangan Negeri Sabah yang Keempat Belas, ADUN Kapayan menerima jawapan bertulis daripada YAB Ketua Mentari bersabit dengan tindakan Kerajaan terhadap masalah rakyat Sabah bukan Islam yang mempunyai ‘Bin’ dan ‘Binti’ dianggap Islam dalam MyKad mereka.

Didalam jawapan bertulis tersebut, Ketua Menteri menjelaskan bahawa isu ‘Bin’ dan ‘Binti’ bukan isu agama. Beliau menyatakan bahawa jika ada kesilapan teknikal tercatat Islam pada MyKad sedang kedua ibu bapa bukan Islam pembetulan boleh dibuat serta merta dengan hadir kepejabat Jabatan Pendaftaran Negara atau JPN.

Sejak pentadbiran British lagi, pentadbiran Borneo Utara menggalakan rakyat North Borneo meletakkan perkataan ‘Bin’ dan ‘Binti’ didalam surat lahir mereka. Ini diterimapakai daripada pentadbiran British hingga lah ke pentadbiran Sabah. Masalah mula timbul apabila JPN mula mengambil alih kerja-kerja pendaftaran.

Keadaan ini pula menjadi lebih parah apabila JPN memperkenalan pendaftaran melalui sistem komputer, dimana agama Islam dimasukkan secara otomatik apabila terdapat perkataan ‘Bin’ dan ‘Binti’. Pembetulan butiran kedalam computer bukan mudah untuk diatasi atau ‘override’. Ia perlu dibuat di Kuala Lumpur.

Sekarang tahun 2017 isu seperti ini masih belum dapat diatasi oleh pihak JPN. Kepada rakyat Sabah yang bukan Islam, masalah yang timbulkan oleh JPN ini seolah-olah satu program pengIslaman melalui pendaftaran.

Apabila diselidiki dengan lebih terperinci – ini bukan saja kesilapan teknikal, ia juga mengundang persoalan agama. Rumusan yang dibuat oleh Ketua Menteri didalam jawapan bertulis beliau adalah tidak tepat dan mengelirukan.

Pegawai Islam di JPN akan berhadapan satu persoalan berat dalam hidupnya apabila diperlukan memadam atau mengubah agama ‘Islam’ daripada MyKad – siapa yang harus tanggung ‘dosa’ ini? Ini persoalan agama bukan teknikal.

Jalan selamat yang boleh diambil oleh pegawai Islam ini adalah dengan tidak membuat keputusan sendiri dan menolak keputusan kepada mereka yang lebih ‘arif’ – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah. Namun JHEAINS tidak mempunyai kuasa untuk memadamkan ‘Islam’ daripada MyKad. Semua ini menyebabkan linkaran yang tiada penghujung, sementara rakyat yang terlibat tergantung dengan agama ‘Islam’ dalam MyKadnya.

Mereka akan menghadapi pelbagai masalah dalam hidup mereka. Anak-anak mereka yang baru lahir tidak dapat di ‘baptise’, mereka tidak boleh berkahwin didalam Gereja, semasa kahwin nanti akan menimbulkan pelbagai masalah diantara pasangan lelaki dan perempuan; keadaan ini akan lebih menyedihkan apabila mereka mati – tidak dapat disembahyangkan di Gereja – ada juga terdapat kes dimana mayat jadi rebutan atau kubur digali semula.

Semua ini berlaku disebabkan JPN tidak peka dan berdalih membuat penyelesaian. Namun yang lebih parah, kenapa perkara ini tidak dapat di selesaikan walaupun Ketua Menteri Sabah dan Dewan Undangan Negari Sabah sudah membuat keputusan mereka sejak 2014 lagi.

Adakah disebabkan JPN sebuah agensi Kerajaan Pusat maka mereka mampu memperlekeh keputusan Ketua Menteri Sabah dan Dewan Undangan Negeri Sabah?

Adakah JPN mahu menunjukan bahawa mereka adalah Tuan dan Sabah Koloni Malaya?

Zainnal Ajamain is an economist by profession, graduating with a Masters’ degree from the University of East Anglia. He has held several high ranking civil service positions in government and government think tanks. He is a vocal activist on Sabah Rights especially those contained in the Malaysia Agreement 1963 or MA63. He also authored the book “The Queen’s Obligations”.

Gambar hiasan sahaja.