Program Latihan Bantu Tingkat Pengurusan Kewangan Penjawat Awam

40

KOTA KINABALU: Bagi memantapkan teknik pengurusan kewangan dalam kalangan penjawat awam, 30 ahli Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) menyertai Program Modul Latihan Kewangan.

Program anjuran Unit Kesejahteraan Pekerja (UKP), Bahagian Saraan, Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (JPANS) itu diadakan bermula Isnin hingga Rabu minggu lalu.

Pakar Motivasi Kewangan Setempat Abu Ayubul Ansari dijemput sebagai penceramah undangan khas bagi berkongsi ilmu dan pengalaman berkaitan pengurusan kewangan.

Kaunselor merangkap Ketua Unit Kesejahteraan Pekerja JPANS, Wan Razanah Matsah berkata, tujuan utama program adalah untuk memberi pendedahan mengenai teknik pengurusan kewangan yang lebih efektif kepada penjawat awam di negeri ini.

“UKP menetapkan beberapa modul bagi membantu mengubah corak pemikiran terhadap pengurusan kewangan peribadi peserta secara keseluruhannya.

“Pelaksanaan program ini diharap dapat memberi pendedahan dan meningkatkan pengetahuan peserta mengenai kaedah pengurusan kewangan yang lebih berkesan,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan program itu selaras dengan Pelan Tindakan Strategik Teras Empat (Total Wellbeing) yang menjajarkan keseimbangan kesihatan fizikal, mental, jiwa, sosial, persekitaran, dan kewangan (6K) dalam kalangan penjawat awam.

Sepanjang program itu, tujuh modul ciptaan Abu Ayuabul menjadi pengisian yang disampaikan secara berperingkat, termasuklah selingan modul tambahan berbentuk aktiviti Cashflow Game Session dan Sesi Follow-up.

“Peserta juga akan menerima satu emel pada setiap minggu yang mengandungi aktiviti bagi tempoh 90 hari selepas program tamat sebagai sesi susulan,” katanya.

Program itu turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah
Datuk Datu Rosmadi Sulai bersama Timbalan Pengarah (Pembangunan) Josie Lai.