Program Kampung Angkat Dekatkan Maritim Dengan Komuniti

53

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA BELUD: Seiring langkah meningkatkan hubungan kerjasama antara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah dan komuniti, Maritim Malaysia memperluas Program Kampung Angkat Maritim ke Kota Belud, di sini hari ini.

Pengarah Maritim Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan Laksamana Muda Maritim Kamaruszaman Abu Hassan berkata, program yang diadakan secara berkala itu diadakan bagi membina dan mempamerkan imej yang baik Maritim Sabah di mata masyarakat setempat khususnya, golongan nelayan.

Pada kali ini, Maritim Sabah memilih Kampung (Kg) Rampaian, Kota Belud sebagai kampung angkat. Program kampung angkat sebegini juga dilaksana di zon Maritim yang lain seperti di Zon Labuan, Kudat, Sandakan, Tawau, Lahad Datu dan Semporna.

Beliau berkata, program sebegitu juga memberi ruang kepada Maritim Sabah memperkenal dan menjelaskan tentang peranan dan fungsi Maritim terutama dalam aspek keselamatan semasa berada di lautan.

“Melalui program hari ini, Maritim Sabah juga menjalankan aktiviti gotong-royong bersama masyarakat setempat dan nelayan. Aktiviti sebegini akan dapat menyemai dan menanam sikap prihatin, ikhlas dan keperibadian mulia dalam kalangan warga kerja Maritim Sabah.

“Aktiviti yang dijalankan termasuk membersihkan kawasan  dewan serbaguna, masjid dan kawasan tanah perkuburan.

“Disamping itu, Maritim Sabah turut memberi sumbangan kepada golongan istimewa dan asnaf serta menyumbangkan jaket keselamatan kepada nelayan di kampung berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Ahad.

Kamaruszaman berharap program turun padang sebegitu dapat mengeratkan lagi hubungan antara agensi itu dengan penduduk setempat. Ini bagi membolehkan penduduk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah di lautan kepada Maritim.

Sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan kepada Maritim di Pusat Operasi Maritim Sabah di talian 088 270175 atau talian kecemasan 999.