Program Gotong-Royong Perdana Cegah Zika Catat Malaysia Book Of Records

Untuk hiasan sahaja.
Untuk hiasan sahaja.

LAHAD DATU – Program Gotong-royong Perdana ‘Defend Against Zika’ 2016 cipta rekod apabila sebanyak 16,001 peserta terlibat dalam program yang diadakan serentak di 188 lokasi kawasan perindustrian di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, Selasai.

Kejayaan itu dicatatkan dalam Malaysia Book of Records selepas diiktiraf sebagai ‘penyertaan teramai secara serentak dalam kempen kebersihan gotong-royong di kawasan zon perindustrian.

royong1

Program anjuran Malaysian Steam And Internal Combustion Engine Engineer Association (MSIEA) yang merupakan ahli persatuan teknikal profesional yang berdaftar di Malaysia itu berjaya mengumpulkan 224 kilang dan premis termasuk daripada sektor berasaskan industri sawit, loji milik Petronas Gas Berhad dan bengkel kejuruteraan.

Majlis penyerahan sijil Malaysia Book Of Records berkenaan disempurnakan wakil MBR Sdn Bhd kepada Naib Presiden MSIEA Ir Azmer Samsudin sambil disaksikan Penolong Pegawai Daerah Lahad Datu Juraimin Jadil di Gamalux Oils Sdn Bhd di sini, Selasa.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat MSIEA Salahuddin Majid dalam kenyataan di sini berkata semangat solidariti yang ditunjukan semua pemain kawasan perindustrian untuk memerangi biologi bahaya iaitu nyamuk dan penularan virus zika di Malaysia perlu dibudayakan.

Menurutnya, program sedemikian perlu menjadi contoh kepada semua pihak agar dapat menerapkan tanggungjawab untuk terus memerangi Zika dengan membasmi nyamuk Aedes.

“Tanggungjawab sedemikian bukan semata-mata tugas kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan tetapi masyarakat keseluruhannya harus memastikan kawasan sekeliling kita bebas daripada pembiakan nyamuk Aedes,” katanya.

Beliau berkata, MSIEA memperuntukkan RM15,000 bagi program khidmat sosial kepada masyarakat itu dilaksanakan di seluruh Malaysia.