Program ‘English for Employment’ Bantu Belia Penuhi Keperluan Pasaran Pekerjaan

63
Vanessa (tiga kiri) menyampaikan cenderamata kepada Pritchard (kanan).

Oleh SURAIDAH ROSLAN
PENAMPANG: Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Penampang mengambil inisiatif memperkenal program ‘English for Employment’ bagi membantu melengkapkan graduan dengan kemahiran berbahasa Inggeris yang baik.

Setiausaha Politik Ahli Parlimen Penampang, Pritchard Gumbaris berkata, program tersebut akan membantu meningkatkan lagi kebolehpasaran graduan lepasan institusi kemahiran dan universiti.

Beliau berkata, bahasa Inggeris merupakan bahasa global yang begitu penting dalam pasaran pekerjaan pada masa kini, maka penguasaan bahasa itu perlu diberi penekanan.

“Atas sebab itu, pusat khidmat rakyat ini bekerjasama dengan Cosmopoint College melaksana program ini di peringkat daerah Penampang. Ini antara usaha kita dalam membantu golongan belia mendapatkan pekerjaan.

“Kita sedar kadar pengangguran di Sabah mencecah lima peratus berbanding kadar di Malaysia yang baru 3.3 peratus, keadaan ini memperlihatkan banyak graduan di negeri ini yang masih menganggur jadi kita harap graduan kita akan mengambil bahagian dalam program ‘English for Employment’ ini.

“Saya harap ramai lepasan sekolah dan institusi kemahiran akan mendaftar untuk program yang akan dilaksana selama lapan minggu ini,” katanya semasa berucap dalam Majlis Pelancaran Program ‘English for Employment’, di sini hari ini.

Beliau hadir dalam majlis itu mewakili Ahli Parlimen Penampang, Datuk Darell Leiking yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Dalam pada itu, Pritchard juga menyarankan golongan belia agar berpegang kepada amalan kesepaduan bagi membolehkan mereka dapat bekerja dalam suasana yang lebih baik.

Katanya, hidup bermasyarakat perlu untuk mengelakkan kehidupan secara berkelompok bagi menghindari perpecahan kaum daripada berlaku.

“Kita tidak mahu desas-desus dan maklumat palsu menjadi punca yang akan pecah belahkan kita,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Cawagan Kolej Cosmopoint Kota Kinabalu, Vaness Faye George berkata, permohonan bagi mengikuti ‘program itu dibuka sehingga 22 Februari ini bagi daerah Penampang.

Katanya, mereka yang berminat boleh menghubungi Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Penampang atau Kolej Cosmopoint.

Beliau berkata, ini adalah kesinambungan program yang diadakan oleh Cosmopoint pada 2017 di seluruh Sabah apabila 100 orang telah mengikuti program ini sepanjang tahun berkenaan.

”Pada kali ini, kita menyasarkan 48 orang pelatih bagi mengikuti program kali ini.

“Mereka akan menjalani latihan dalam kelas selama empat minggu manakala selebihnya, mereka akan menjalani latihan industri dengan lebih 40 syarikat dalam industri yang merupakan rakan kerjasama Cosmopoint.

”Permohonan dibuka kepada lepasan sijil kemahiran, diploma dan peringkat seterusnya, elaun turut disediakan kepada pelatih yang mengikuti program ini,” jelasnya.