Program Azam Diperkenal Bantu Golongan Berpendapatan Rendah

91
Junz Wong yang segak berpakaian Melayu bersama para pemimpin negeri hadir di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri baru-baru ini.

KOTA KINABALU: Program Pembasmian Kemiskinan (Azam) yang memberi peluang golongan berpendapatan rendah menyertai latihan kemahiran sebelum diberikan modal untuk bekerja bagi menjana pendapatan akan dilaksanakan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan bermula bulan ini.

Menterinya, Datuk Junz Wong berkata, Azam akan membantu golongan tersebut menjana pendapatan bagi memastikan tahap kehidupan sosial dan ekonomi mereka meningkat.

“Kita harap kumpulan sasar yg tersenarai dalam sistem e-kasih akan mampu berdikari dan meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri di Menara Tun Musthapa baru-baru ini.

Junz berkata, langkah tersebut adalah bukti kerajaan komited membangunkan Sabah dan yakin pembangunan ekonomi negeri akan dapat dipertingkatkan tidak lama lagi.

Mengulas lanjut katanya, melalui Azam, kumpulan sasar akan menyertai latihan dan menerima peralatan yang berkaitan setelah tamat kursus singkat bagi membolehkan mereka menjalankan aktiviti ekonomi dan menjana pendapatan.

Beliau turut mengingatkan agar pelaksana latihan yang dilantik hendaklah mempunyai keupayaan daripada segi kewangan, peralatan, pekerja dan kemudahan lain yang boleh digunakan untuk melaksanakan projek.

“Aspek penting, tenaga pengajar yang dilantik oleh penyedia latihan hendaklah mempunyai kelayakan yang bersesuaian,” tambah beliau.

Sementara itu, majlis rumah terbuka yang dihadiri masyarakat pelbagai bangsa dan peringkat umur itu diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin bersama isteri, Toh Puan Norlidah R.M. Jasni.

Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal serta isteri, Datin Seri Shuryani Shuaib.

Bersempena sambutan aidilfitri ini, Junz berharap setiap rakyat Sabah dapat menikmati kesejahteraan hidup sepanjang masa.