Program Autoshow Terbesar Sabtu Ini Di Penampang

115

Oleh JENNIFER TUGUNG MICHAEL
KOTA KINABALU: Peminat dunia automatif di negeri ini akan dapat mempelajari pelbagai teknik modifikasi kereta khususnya kenderaan pacuan empat roda (4WD) sempena Malaysia Autoshow Sabah 2019 Sabtu ini.

Program selama dua hari berakhir Ahad itu akan diadakan di hadapan Dewan Pusat Kebudayaan Penampang yang dianjurkan Institut Automotif, Robotik dan Iot Malaysia (MARii) bersama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Penampang.

Pegawai Khas kepada Menteri Perdagangan Antaragangsa dan Industri, Albert Chin berkata, pelbagai program yang telah diatur untuk menarik ribuan peminat kereta di seluruh negeri ke pertunjukkan itu.

“Acara ini bukan sahaja akan memperagakan kereta-kereta mewah, lama dan modifikasi tapi juga akan memberi peluang kepada pengunjung untuk melakukan pandu uji,” katanya.

Albert berkata, program yang dijangka menarik kehadiran ribuan pengunjung itu bukan sahaja akan menawarkan bengkel modifikasi kereta, 4WD dan ujian kuasa kereta tetapi juga akan melibatkan perkumpulan kelab-kelab kereta, bazar, pesta makanan dan pelbagai lagi.

Selain itu, beliau berkata, para pengunjung juga berpeluang untuk memenangi kereta baru jenis Perodua Axia dan pelbagai lagi hadiah cabutan bertuah.

“Kepada yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang acara ini boleh berhubung terus dengan sekretariat di talian 0123005070,” katanya.