Prof Taufiq Pulang Berkhidmat Di Kampung Halaman

Prof Taufiq (kiri) bersama Kamarudin (kanan) semasa Majlis Serah Tugas, di sini pada Rabu.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin menyifatkan perlantikannya sebagai Naib Canselor Univesiti Malaysia Sabah (UMS) sebagai masa yang tepat untuk kembali berkhidmat di ‘kampung halamannya’.

“Ini adalah negeri kelahiran saya dan ia masa yang tepat untuk saya kembali berkhidmat di Sabah,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perasaannya kembali berkhidmat di Sabah.

Taufiq, 51, yang berasal dari Kota Kinabalu dilantik sebagai Naib Canselor UMS keenam menggantikan Datuk Prof Dr D Kamarudin D Mudin. Perlantikannya berkuatkuasa dari 30 Julai hingga 29 Julai 2022.

Sebelum ini, Taufiq berkhidmat di Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia dan telah berkhidmat lebih 20 tahun di Semenanjung Malaysia.

Terdahulu dalam ucapannya, Taufiq memberi jaminan untuk terus menggalas amanah dalam mengangkat martabat UMS agar kewujudan pusat ilmu itu terus menjadi tumpuan di mata dunia.

“Pada peringkat awal ini saya akan berusaha meningkatkan ‘visibility’ UMS agar ia terus menjadi tumpuan di rantau Asia Pasifik. Saya percaya dengan kerjasama erat semua pihak, usaha itu akan mampu dilaksanakan.

“Kita akan memikirkan beberapa strategi yang bersesuaian. Pada masa ini, UMS dalam proses menyemak kurikulum sedia ada dan saya percaya ini masa yang tepat untuk melakukan semakan itu agar kurikulum yang ada dapat disesuaikan dengan keperluan industri,” katanya semasa Majlis Serah Tugas di Galeri Majlis Bangunan Canselori UMS, di sini pada Rabu.

Sementara itu, Kamarudin menyarankan warga UMS agar terus memberi sokongan terhadap Prof Taufiq dalam menerajui kepimpinan UMS.

Kamarudin akan terus khidmat di Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan UMS.