Produk Pelancongan Di Penampang Perlu Dibangunkan – Jenifer

163
Jenifer, tengah, menyerahkan eco bricks kepada Pengarah Urusan Malatin Horse Hill Eco Farm & Recreation Llyod Honorsius Bosuin, dua kanan, turut kelihatan Pengerusi Koperasi Pembangunan Desa Datuk Honorsius Bosuin, kanan.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
PENAMPANG: Pembukaan Malatin Horse Hill Eco Farm & Recreation dilihat satu lagi usaha yang akan membantu memacu perkembangan sektor pelancongan di daerah ini.

Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Jenifer Lasimbang berkata, kedudukan Penampang yang begitu dekat dengan Pusat Bandaraya Kota Kinabalu harus dimanfaatkan oleh penduduk Penampang untuk memperkenalkan lebih banyak produk pelancongan yang menarik.

Beliau berkata, pembukaan kawasan eko perladangan sebegini secara tidak langsung mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak-anak muda di kampung berkenaan.

“Eco farm yang menampilkan anak muda sebagai pengarah urusan itu memperlihatkan usaha pengurusan Malatin Horse Hill Eco Farm menggalakkan anak muda terlibat dalam perniagaan

“Langkah sebegini harus dicontohi oleh belia di luar sana agar jangan terlalu menunggu untuk bekerja dalam sektor kerajaan sahaja,” katanya ketika ditemui selepas Pra-Perasmian Malatin Horse Hill Eco Farm & Recreation di Kampung Vasai Ramayah, di sini pada Rabu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog ini bekata, golongan belia harus terlibat dalam bidang keusahawanan bagi membantu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

Mengenai eko perladangan itu, beliau berkata, destinasi pelancongan berkenaan turut menempatkan ladang ternakan ayam kampung dan arnab serta kawasan penanaman sayuran tempatan.

Selain itu, kawasan ini menyediakan aktiviti seperti sukan lasak ATV, rock climbing, mendaki Bukit Tirig serta kafe yang memperlihatkan pemandangan daerah Penampang.

Jenifer berkata, pembukaan kawasan perlancongan berkonsepkan eko perladangan itu selaras dengan konsep 3E (Education, Environment & Entrepreneurship) yang ditekankan dalam kawasan DUN Moyog.

Katanya, menerusi eko perladangan itu, pengusaha boleh mendidik anak muda tentang kepentingan pokok sebagai tadahan hujan sertakewujudan haiwan ternakan yang mungkin tidak dikenali sesetengan anak muda di bandar.