PRN Sarawak: Penampilan Sulung Adam Yii Jadi Tumpuan di Dun Pujut

MIRI: Kelibat Adam Yii Siew Sang yang diberi kepercayaan mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 menjadi tumpuan pada hari penamaan calon bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pujut di bangunan Dewan Bandaraya Miri di sini hari ini.

Pengerusi Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) cawangan Pujut itu hadir pada 7.52 pagi di pusat penamaan calon.

Pertama kali bertanding dalam PRN Sarawak, Yii, 65, yang merupakan Datuk Bandar Miri sejak 1 Julai 2019 sebelum diumumkan sebagai calon GPS baru-baru ini, bukan nama baharu dalam senario politik Bumi Kenyalang kerana telah menyertai SUPP sejak tahun 1990.

Namun cabaran getir menanti beliau pada PRN Sarawak kali ini apabila perlu meyakinkan sejumlah 27,559 pengundi untuk kembali beralih kepada GPS kerana dalam PRN Sarawak ke-11, ia dimenangi wakil DAP Dr Ting Tiong Choon dengan majoriti sebanyak 1,759 undi.

Bagaimanapun, Dr Ting tidak dapat mempertahan kerusi DUN itu selepas hilang kelayakan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada 2019 apabila didapati memiliki dua kerakyatan iaitu Australia dan Malaysia yang melanggar perkara 17(1)(g) Perlembagaan Negeri Sarawak.

Perebutan bagi DUN Pujut kali ini ternyata lebih menarik apabila dijangka berlaku persaingan sekurang-kurangnya lima penjuru selepas DAP mengesahkan Alan Ling Sie Kiong akan bertanding selain Parti Sarawak Bersatu (PSB) bakal mempertaruh Bruce Chai Khim Cheong untuk kerusi itu.

Pendatang baharu, calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak Eric Chin Feng Shiong dan Parti Bumi Kenyalang Leslie Ting Siong Ngiap turut dilaporkan bertanding.

Keputusan muktamad jumlah sebenar calon yang bertanding bagi DUN Pujut hanya akan diketahui pada kira-kira 11 pagi selepas waktu penamaan calon ditutup dan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat pengumuman rasmi.