PRN Sabah: Sebanyak 193 Laporan Polis, 58 Kertas Siasatan Dibuka

Oleh SURAIDAH ROSLAN
PAPAR: Sebanyak 193 laporan polis dibuat atas pelbagai kesalahan sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 setakat semalam.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, daripada jumlah itu sebanyak 58 kertas siasatan dibuka melibatkan kesalahan fitnah di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998.

Beliau berkata, kesalahan-kesalahan itu termasuk fitnah dan laporan kes lucah yang disebarkan melalui laman media sosial Facebook dan sebagainya.

Katanya, polis juga tidak menerima sebarang laporan mengenai pengundi yang menggunakan Kad Pengenalan sementara.

Dalam pada itu, Hazani juga berharap orang ramai yang turun mengundi agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19.