PRN Sabah: Enam ‘Katak’ Muncul Calon Bebas

KOTA KINABALU: Kemunculan enam daripada 13 ADUN yang melompat keluar daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) sebagai calon Bebas hari ini, menjawab persoalan ke mana hala tuju mereka.

Setelah tiada parti yang mencalonkan nama mereka, enam calon ini tampil sebagai calon Bebas untuk kembali memegang berkuasa di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandang.

Enam penyandang itu adalah Datuk Anita Baranting (Tandek); Datuk Musbah Jamli (Tempasuk); Datuk Masiung Banah (Kuamut), Datuk Saddi Abdul Rahman (Sukau); Abdul Rahman Kongkawang (Labuk) dan Kenny Chua (Inanam).

Namun, perjalanan mereka untuk meraih semula simpati rakyat tidak semudah yang disangka.

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 ini, kesemua mereka perlu berdepan dengan persaingan lima hingga 10 penjuru berikutan ramai parti politik dan calon Bebas turut bertanding.

Di Labuk, Sukau dan Kuamut, penyandangnya terpaksa bersaing dalam pertembungan lima penjuru.

Sementara, Anita dan Musbah berdepan persaingan enam penjuru masing-masing di Tandek dan Tempasuk.

Manakala, di Inanam menyaksikan Kenny berdepan persaingan 10 penjuru termasuk menentang bekas Ketua Menteri Chong Kah Kiat (LDP).