PRN Sabah: DAP Mahu Tanding Lebih Banyak Kerusi

KOTA MARUDU: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sabah menyimpan hasrat untuk bertanding di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang baharu.

Bagaimanapun, parti itu meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal dalam membuat keputusan pengagihan kerusi.

Pengarah Pendidikan Politik DAP Sabah, Senator Adrian Lasimbang berkata, beliau yakin Mohd Shafie akan  membuat keputusan yang bijak dan adil dalam pembahagian kerusi menjelang pilihan raya negeri (PRN) ke-16 di Sabah tidak lama lagi.

Katanya, DAP Sabah akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Warisan termasuk dalam agihan kerusi pada PRN itu nanti.

“Dari sudut pengempur, kami akan  berusaha bergerak dan mengempur setiap inci, sudut dan apa yang pasti, misi utama kami adalah untuk memastikan Mohd Shafie memperoleh sokongan serta  mandat yang baru untuk menerajui kepimpinan kerajaan negeri Sabah sekali lagi,” katanya selepas Program Kempen Derma Darah anjuran DAP Kota Marudu dan Tandek, baru-baru ini.

Menurutnya, Pusat Khidmat DAP akan terus bersama  mendampingi rakyat melalui program-program yang akan dilakukan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Tambahnya, program yang sering dijalankan oleh DAP seperti kempen derma darah, program kebajikan dan projek infrasturktur asas seperti bekalan elektrik dan air akan terus dilaksanakan dari masa ke semasa.

Dalam program tersebut Adrian turut berkesempatan mendengar penerangan daripada wakil Hospital Kota Marudu mengenai bekalan tabung darah di hospital berkenaan yang kini semakin berkurangan dan  kritikal.

Adrian berkata, bagi mewakili pihak hospital, beliau menyeru dan memohon kepada orang ramai untuk bersama-sama tampil ke hadapan dan datang untuk menderma darah.

Dalam pada itu, beliau turut memberikan penerangan kepada ahli-ahli cawangan DAP Tandek dan Kota Marudu tentang keadaan politik negeri ketika ini.

Semua jentera perlu bersiap siaga menjelang PRN Sabah yang akan diadakan tidak lama lagi. Apa yang paling mustahak adalah memastikan Mohd Shafie menerima mandat yang besar dari rakyat untuk memimpin dan menerajui semula kerajaan negeri Sabah.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu DAP bertanding tujuh kerusi DUN dan memenangi enam kerusi.

Enam kerusi yang dimenangi adalah DUN Likas, Luyang, Kapayan, Elopura, Tanjong Papat dan Sri Tanjong.