PRN Sabah: DAP Guna Logo Warisan

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Parti Tindakan Demokratik (DAP) memutuskan untuk menggunakan logo Warisan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16.

Perkara itu diumumkan sendiri oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menerusi satu kenyataan hari ini.

Katanya, keputusan itu dibuat sebagai tanda menghormati suara dan pandangan DAP Sabah.

Guan Eng berkata, dikala keadaan politik tidak stabil ketika ini, mereka tidak boleh kalah dalam PRN Sabah.

“Hanya dengan bersepadu sahaja membolehkan gabungan kerjasama kita di Sabah menang besar,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon berkata, keputusan menggunakan logo Warisan itu sebagai tanda kesepaduan dalam Warisan Plus.

“Biarpun agak sedih kerana kami tidak boleh menggunakan logo roket tetapi, penggunaan logo Warisan adalah keputusan yang tepat.

“Kami membuat keputusan ini setelah berbincang dengan penyokong DAP di bandar dan luar bandar.

”Atas semangat perjuangan dan kepentingan rakyat dan negeri Sabah, kami sebulat suara memenuhi cadangan yang dikemukakan Presiden Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal bagi menggunakan logo Warisan,” katanya.

Frankie berharap penggunaan logo yang sama ini akan meningkatkan peluang untuk calon Warisan Plus menang dalam PRN Sabah.