PRN Sabah: 76 Peratus Pengundi Turun Mengundi Awal

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Sebanyak 76 peratus daripada 16,877 orang pegawai dan anggota keselamatan polis dan tentera menunaikan tanggungjawab mengundi awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16, hari ini.

Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), setakat 5 petang tadi, iaitu semasa pusat mengundi ditutup, 76 peratus anggota keselamatan telah turun mengundi.

Sebanyak 55 pusat mengundi bagi PRN Sabah ke-16 dibuka hari ini bermula 8 pagi sehingga 5 petang.

SPR memaklumkan daripada 16,877 orang pengundi itu, 7,487 orang adalah anggota tentera dan 9,390 orang anggota polis.

Proses pengundian awal turut menekankan pematuhan kepada garis panduan pencegahan atau SOP yang ditetapkan SPR dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Kertas undi bagi undi awal ini akan dikira pada 26 September ini bermula 4 petang.

Hari Mengundi bagi PRN Sabah ditetapkan pada 26 September.